Saturday 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 10 : KERANA AKU SAUDARA KAMU !




   Pada malam pertandingan nasyid peringkat kebangsaan itu, kumpulan Suhulus Salam menyanyi dengan penuh bersemangat ikhlas terus daripada hati. Sehinggakan para audiens terasa aura jihad yang kian berkobar.

   “Johan bagi pertandingan nasyid peringkat kebangsaan pada tahun ini, jatuh kepada ….”, pengumuman kejayaan bakal dilafazkan oleh pengacara majlis. Jantung Anas, Amin dan Eqhwan berdegup kencang seakan-akan mahu terkeluar.

   DUP ! DAP ! DUP ! DAP !

   “ … Kumpulan Suhulus Salam !”

   Dewan Bitara bergema dengan sorakan kegembiraan. Lantas, Anas terus berdiri di atas kerusi bagi melaungkan kalimah takbir.

   “TAKBIR !”
   “ALLAHUAKBAR !”
   “TAKBIR !”
   “ALLAHUAKBAR !”
   “TAKBIR !”
   “ALLAHUAKBAR !”

   Seruan takbir tersebut turut disambut oleh anggota nasyid daripada kumpulan lain. Sungguh, memang layak kejuaraan itu dirangkul oleh Kumpulan Suhulus Salam memandangkan mereka menyanyi dengan penuh perasaan. Seraya itu, Aminudin, Anas dan Eqhwan terus melaksanakan sujud syukur tanda berterima kasih kepada Allah. Tindakan itu turut diikuti oleh seluruh warga dewan.

   Pada ketika itu, hati insan-insan disatukan dengan penuh kerahmatan. Terlalu syukur akan kurniaan nikmat daripada Ar-Rahman.

   Sungguh, segala penat lelah mereka selama ini terbayar jua. Benarlah, siapa usaha lebih, maka dia akan mendapat lebih.



*   *   *


   “Tahniah Abang Anas…”

   Tersipu-sipu malu Elisa mengucapkan ungkapan tahniah. Wajah Anas pada ketika itu terlalu merah. Anak teruna tersebut terlalu segan tatkala berdepan dengan perempuan. Apatah lagi sekiranya perempuan itu ialah Elisa, si gadis pujaan.

   “Terima kasih … Elisa.”, Anas menjawab tergagap-gagap. Eqhwan menyiku-nyiku mesra bahu Anas, tatkala melihat pemuda itu tidak berkelip matanya memandang Elisa yang berlalu pergi. “Ulat bulu dah naik dauuuuunnnn !”

   Aminudin, Redzuan, Faiz dan sahabat-sahabat lain turut tertawa melihat gelagat Anas pada ketika itu. Sungguh melucukan!

   “Jomlah semua, Ustaz Pauzi dan guru-guru lain sedang menunggu di Dewan Makan. Ada jamuan kemenangan.”, ajak Aminudin. “Wah !!! Makanan! I like!”, sahut Eqhwan pula. Lantas, pelajar-pelajar tersebut berjalan dengan penuh kegembiraan menuju Dewan Makan.

   “Alamak!”

   Tiba-tiba langkahan Anas terhenti. “Aku tertinggal wallet di bilik nasyid. Aku pergi ambil dulu, ya.”, jelas Anas. Lantas pemuda tersebut mengorak langkah pergi meninggalkan rakan-rakannya.

   “Anas. Nak aku temankan?”, Aminudin pula menawar diri.

   “Tak mengapa, aku dah besar.”, kata Anas sambil tersenyum manis.


*   *   *


   “Haisyhhh, mana pula wallet aku ni?”

   Anas mencari-cari dompetnya dengan penuh cermat. “Ah! Tu pun dia!”, dan akhirnya dompet yang dicari terus terjumpa. Pemuda tersebut segera mengatur langkah keluar daripada bilik nasyid.

   “Eh?”

   Tiba-tiba, Anas berasa ganjil. Dia terasa panas. Suhu bilik nasyid tersebut meningkat secara mendadak.

   “Ya Allah! Api!”, teriak Anas. Pintu bilik nasyid tersebut terbakar! Pasti puncanya berlaku daripada luar. Anas runsing, mahu dijeritnya sekuat hati meminta tolong namun pasti berakhir dengan kesia-siaan. Mana ada insan yang berkeliaran di sekitar bilik nasyid pada waktu malam sebegitu.

   Anas ligat berfikir. Tegar mencari jalan keluar. “Ah! Tingkap ni bergrill pula!”, teriak Anas. Kepulan asap hitam semakin menebal. Api pula semakin marak membara. Ruang bilik nasyid yang kecil serta tertutup menjadikan suasana lebih menyesakkan.

   Anas buntu tindakan. Nafasnya tercungap-cungap. Tiada jalan keluar. Masihkah punya harapan?

   “Allah …”

   Anas terpejam, pengsan.

*   *   *


   “HAHAHAHAHAH!”

   Si antagonis tertawa terbahak-bahak. Hati hitamnya berasa puas. Terlalu puas kerana dapat menghapuskan salah seorang tentera kuat dalam organisasi BADAR.

   “Nah! Biar kau rentung kat dalam tu!”

   Kata si antagonis yang sedang berdiri angkuh di luar bilik nasyid. Api yang menyala pada pemetik api ditiupnya penuh dendam.

   “HAHAHAHAHAHAHAH !!!”

*   *   *

   “Ish! Mana Anas ni? Takkanlah lama sangat pi ambil wallet?”

   Kata Aminudin, Ketua BADAR tersebut berasa tidak sedap hati. Lantas, Aminudin berhenti menjamu juadah dan bangun daripada dudukannya.

   “Eh Amin, hang nak pi mana?”, soal Eqhwan di sampingnya. “Aku nak pi cari Anas.”, jawab Aminudin segera. Mendengar kata-kata itu, Eqhwan turut berhenti daripada terus menghabiskan hidangan makanan. “Jom! Aku nak ikut.”

   Seusai meminta diri, Eqhwan dan Aminudin mengatur langkah larian menuju ke arah bilik nasyid. Mereka berasa tidak senang hati, dan setibanya di kawasan bilik nasyid, langkahan dua pemuda terhenti berlari.

   “Ya Allah! Bilik nasyid terbakar! Anas ada kat dalam bilik tu!”, teriak Aminudin. Jantungnya berdegup kencang.

   Eqhwan pula terdiam. ‘Eh! Itu kan … Tapi apa yang dia buat di sini?’, monolog hati kecil Eqhwan.  Pada saat itu, matanya tertangkap akan kelibat seorang manusia yang cukup dikenalinya. Namun, manusia itu tidak pula berusaha mahu memadamkan api yang kian membara, sebaliknya manusia itu terus berlari meninggalkan kawasan kebakaran.

   Manusia itu ialah si antagonis durjana!

   Amin pula ligat berfikir, misinya hanya satu, mahu menyelamatkan Anas daripada menjadi mangsa kebakaran. “Eqhwan, bertenang! Sekarang ni hang pi ambil fire extinguisher. Biar aku selamatkan Anas.”, Aminudin mengarah penuh rasional.

   Eqhwan bagai ditarik semula ke alam nyata. Fikirannya yang melayang dek kerana melihat manusia tadi terhapus serta-merta.

   “Hang nak selamatkan Anas? Api tengah membara tu!”, balas Eqhwan. Pemuda tersebut kelihatan cemas. Sungguh, bilik nasyid pada ketika itu sedang dijilat api dengan suhu yang amat tinggi. Mustahil Aminudin mampu menyelamatkan Anas dalam keadaan sebegitu rupa.

   “Hang dengar cakap aku Eqhwan! Pi ambil fire extinguisher sekarang!”, tegas Aminudin, wajahnya merah. Terdiam sahabatnya dipekik sedemikian itu. Eqhwan bergeleng lemah sambil mengatur langkah mencari alat pemadam api yang berdekatan.

   Aminudin tekad. Nyawa sahabatnya mesti diselamatkan. Lantas, Ketua BADAR tersebut melompat tinggi melangkah baraan api yang sedang menggila. Akhirnya, pemuda tersebut berjaya menghampiri pintu bilik nasyid.

   “Ahhh!! Awat susah sangat nak buka pintu ni?!”, Aminudin berdialog cemas. Pintu bilik nasyid yang panas tersebut gagal ditolaknya.

   “Amin! Aku bawa fire extinguisher ni, hang tunggu aku kat sana!”, jerit Eqhwan yang masih berada di luar lingkungan kebakaran. “Hang jangan datang dekat Eqhwan! Api dah membara gila ni!”, tegas Aminudin. Pemuda tersebut tidak mahu sahabatnya yang seorang itu turut terjebak dalam bahaya.

   “Arrgghhhh!! Awat tak boleh bukak pintu ni!”, Aminudin menjerit sekuat hati. Suhu disekitarnya semakin hangat, baraan api pula semakin menggila! Peluh-peluh yang bercucuran pada wajah Aminudin terus kering sendiri akibat kedahsyatan suhu yang melampau panasnya.

   ‘Ahhh?!! Pintu tak boleh bukak?’, Eqhwan terfikir sejenak. “Amin! Hang jangan bukak pintu tu! Bahaya!”, jerit Eqhwan dari jauh. “Awat plak?!”, Aminudin membalas dengan jeritan.

   “Kat dalam bilik nasyid tu api sedang membara, maka tekanan udaranya menjadi tinggi berbanding tekanan udara di luar. Hang tak boleh tolak pintu tu sebab tekanan udara yang terlalu tinggi di dalam menolak pintu bilik ke arah berlawanan.”, sempat Eqhwan menerangkan.

   “Dan kalau hang berjaya buka pintu bilik tu, hang yang akan nahas sebab tekanan udara yang tinggi di dalam akan menolak api yang membara ke arah luar bilik. Ke arah hang Amin!”, tambah Eqhwan lagi. Pemuda tersebut terlalu cemas sebenarnya.

   “Arrggghhhh!!! Aku tak kisah kalau aku mati terbakar sekali pun! Yang penting, aku kena selamatkan nyawa Anas! Nyawa sahabat aku!”, tegas Amin sebulat hati. Kudratnya dikerah sekuat daya untuk menolak pintu bilik nasyid agar terus terbuka.

   POOOOFFFFFFFFF !!!

   “AMIIINNNNNN !!!”

   Pintu bilik nasyid berjaya dibuka. Pada saat dan ketika itu juga, api yang membara dari arah dalam bilik nasyid menyerang tubuh Aminudin. Pemuda bernama Eqhwan menjerit sekuat hati tatkala melihat sahabatnya terkena bahaman api yang kuat membara.

   “Arrgghhh!”, tanpa membuang masa, Eqhwan berlari kencang ke arah Aminudin dan cuba memadamkan api yang menjilat pakaiannya.

   “Eqhwan, apa sudah jadi ni?!”, satu suara kedengaran gempar dari arah belakang. Suara milik Redzuan yang hadir bersama sahabat-sahabat lain. “Wan! Selamatkan Anas! Anas ada kat dalam bilik tu!”, Eqhwan terus memberi arahan, pemuda tersebut harus segera menyelamatkan Aminudin yang sedang kritikal.

   “Hmmm!”, sahut Redzuan. Ketua Pelajar tersebut memberanikan diri meredah api untuk masuk ke dalam bilik nasyid dan menyelamatkan sahabat karibnya.


*   *   *


   Alhamdulillah.  Api berjaya dipadam dengan bantuan bomba. Dengan izin Allah jua.

   Anas Asyraf pula berjaya diselamatkan. Pemuda tersebut sekadar pengsan kerana ketidakcukupan oksigen. Tubuhnya tidak sempat dijamah api.

   Berbeza pula keadaannya dengan Aminudin. Tubuh Ketua BADAR tersebut sedikit lecur akibat diserang bara. Namun begitu, nyawanya masih terselamat.

   “Ahhh ….”, perlahan-lahan, Aminudin cuba membuka mata. Jasadnya pedih sungguh terseksa.

   Di sampingnya kelihatan Eqhwan sedang menangis kesedihan. “Hang memang bodoh Amin! Bodoh!”, teresak-esak Eqhwan mengatur bicara. “Hang tau dak yang nyawa hang boleh terkorban tadi? Kenapa hang bodoh sangat hah?!”, nada Eqhwan sedikit marah. Mungkin kerana terlalu takut kehilangan insan bernama sahabat.

   Perlahan-lahan, Aminudin melakar senyum. “ Eqhwan … Ada seorang sahabat aku pernah bagitau, tiada kepimpinan tanpa pengorbanan.”, Aminudin berbicara penuh lemah.

   Eqhwan tersentak !

   Kata-kata itulah yang pernah diungkapkannya kepada Ketua BADAR tersebut suatu ketika dahulu. Dan pada hari ini, sahabatnya itu terus mengaplikasikan nasihat tersebut.

   Tidak sempurna iman seseorang, melainkan dia mengasihani saudaranya sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri.

   Eqhwan terus menangis. Hatinya sebak tersentuh melihat pengorbanan yang dilakukan oleh insan bergelar sahabat.

   Sungguh, ukhwah yang terjalin kerana Allah itu mampu mencetuskan rasa cinta yang amat mendalam.

1 comments:

Anonymous said...

Deep...."tiada kepimpinan tanpa pengorbanan" ....indeed!

Post a Comment