Saturday 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 8 : KERANA UKHWAH ITU CINTA


   “Tapi masalahnya, aku sendiri pun tak tahu sama ada dia sukakan aku ataupun tidak.”

   Luah Anas. Kini, pemuda tersebut sedang duduk berdua bersama seorang teman di atas Astaka asrama. Teman tersebut ialah Amirul Eqhwan.

   “Hmm… Aku sebenarnya setuju dengan apa yang Ustazah Fadhilah cakap kat hang.”, kata Eqhwan sambil matanya memerhatikan secara kosong pelajar-pelajar lelaki yang sedang asyik bermain bola sepak di padang sekolah. “Kenapa hang nak tahu sama ada Elisa tu suka kat hang ataupun tidak?”

   Anas tertunduk segan, namun penuh pengharapan. Dan hari ini, pemuda bersuara merdu tersebut mengambil keputusan untuk berkongsi perihal tersebut bersama Eqhwan. Mungkin kerana factor usia menyebabkan mereka lebih terbuka. “Bukan apa, aku risau sekiranya cinta aku ni cinta yang bertepuk sebelah tangan. Itu sahaja.”

   “Hmm … Kalau macam tu, aku ada idea!”, kata Eqhwan bertemu solusi.

   “Apa idea hang?”

   “Hehehehe… Mari sini.”, bahu Anas ditarik lantas Eqhwan mula mendekatkan bibirnya kepada telinga Anas. Sok sek sok sek Eqhwan berbisik. “Wah! Boleh pakai gak kan idea tu!”, puji Anas. Ibu jari Eqhwan diangkat menunjukkan simbolik thumbs up. Kedua-dua pemuda tersebut tertawa riang.

   “Ehem … Assalamualaikum.”

   Tiba-tiba, satu salam menyapa Anas dan Eqhwan dari arah belakang. Mereka cukup kenal akan suara tersebut, apatah lagi akan tuan empunya suara. Itu … Aminudin Che Omar!

   “Amin…? Wa’alaikumussalam.”, jawab Eqhwan dan Anas sekata. Dua pemuda tersebut berpandangan sesama sendiri. “Boleh aku duduk sekali?”, pinta Aminudin, wajahnya berhias senyum.

   “Silakan.”, kata Anas, ringkas.

   Aminudin menarik nafas dalam, mengumpul kekuatan untuk meluah bicara. “Anas, Eqhwan… Aku datang berjumpa hampa berdua petang ni, sebenarnya sebab aku ada satu hajat.”, jelas Aminudin.

   “Aku nak minta maaf.”, sambung Aminudin. Egonya yang selama ini tinggi melangit diletakkan serendah mutiara di lautan. Sudah cukup cukup sudah, cukup sampai di sini sahaja. Sudah tiba saat dan ketika di mana Ketua BADAR tersebut melakukan perubahan yang mahmudah dalam organisasi dakwah dan kerohanian itu.

   “Subhanallah, Amin! Sebenarnya kami berdua pun punya hajat yang sama!”, kata Anas keriangan.

   “Ya, aku rasa tindakan kami pada malam tu sangat-sangat tidak matang dan jauh daripada landasan kerasionalan.”, tambah Eqhwan pula, pemuda tersebut turut tersenyum. “Eh? Betul ka? Kalau macam tu …”, Aminudin menghulurkan tangan kanannya tanda pendamaian.

   “Salam je tak cukup.”, tangan Eqhwan dan Aminudin bersalaman. Lantas, pemuda berkaca mata tersebut memeluk erat tubuh Ketua BADAR itu. Aminudin terkesima, hatinya juga turut terpeluk penuh kasih sayang. “Owwhhh … Sweetnya! Aku pun nak juga!”, kata Anas, tanpa membuang masa pemuda tersebut terus turut serta di dalam dakapan ukhwah tersebut.

   Pada saat itu, hati tiga pemuda tersebut terasa lapang. Api dendam yang selama ini membara kian terpadam. Sungguh, menjalin silaturahim itu membuahkan rasa tenang dalam jiwa. Apatah lagi jika ukhwah yang tertaut itu adalah ikhlas kerana Allah.

   Mata Aminudin tiba-tiba berair, hatinya sebak kegembiraan. “Hah, teringat pula zaman kita tingkatan satu dahulu.”, kata Aminudin sambil mengesat mutiara jernih yang mengalir di wajah. Ya, tiga pemuda tersebut merupakan sahabat yang amat akrab suatu ketika dahulu, namun, setelah masing-masing mengambil haluan tersendiri, keakraban tersebut semakin hari semakin luntur.

   Anas dengan perjalanan nasyid, Eqhwan dengan laluan perbahasan, Amin pula sedari awal sudah bersama perjuangan BADAR. Namun, pada hari ini, hati-hati yang telah terpisah itu bersatu semula. Ya, bersatu kerana Yang Maha Satu.

   “Amin, aku sebenarnya bangga hang jadi ketua aku.”, puji Anas Asyraf penuh keikhlasan. Aminudin menyambut pujian tersebut dengan senyuman. “Alhamdulillah. Dan aku amat-amat memerlukan hampa berdua serta ahli BADAR yang lain dalam menegakkan syiar Islam di sekolah ini.”

   Eqhwan memegang lembut bahu Ketua BADAR tersebut. “Jangan risau Amin, kami semua akan sentiasa membantu hang, dan yang paling penting adalah membantu agama Allah ini.”, jelas Eqhwan pula. “Kita akan berjuang bersama-sama, biarpun perjuangan ini menuntut pengorbanan jiwa dan jasad, kerana sungguh, tiada kepimpinan tanpa pengorbanan.”

   Hati Aminudin tersentuh tatkala mendengar pesan sahabatnya itu. ‘ … Tiada kepimpinan tanpa pengorbanan. …’, Aminudin tersenyum sendiri. Tangannya menepuk-nepuk bahu Anas dan Eqhwan.

   “InsyaAllah! Kita boleh!”


*   *   *


   “Bismillah…”

   Perlahan-lahan Anas menyelitkan sehelai kertas bertaraf warkah di bawah meja gadis bernama Elisa. Bukan, itu bukan surat cinta. Sekadar warkah menyoal rasa. Pada penghujung kata isi bicara surat tersebut, tertulis sebuah ucapan pengharapan yang berbunyi … ‘SEE YOU DI IPT’.




   Tersenyum sendiri pemuda tersebut. Hatinya berbunga harapan. Berharap agar cinta ini ialah cinta yang tulus suci, yang bakal membawa diri mendekati Ilahi dan bukannya melalaikan.


*   *   *


   Masa kian berlalu pantas.

   Semakin hari, semakin kukuh ukhwah persahabatan tiga pemuda bersama ahli BADAR yang lain. Disebabkan kekukuhan persaudaraan itu, maka organisasi BADAR semakin ampuh. Onak dan tribulasi yang melanda terus dirempuh.

   Apabila Aminudin berasa sedikit baran, sahabat-sahabatnya akan menegur agar dia kembali ke landasan kesabaran. Tatkala Anas terlalai dengan kenasyidan, pemuda tersebut disedarkan kembali atas tujuan perjuangan. Pada saat Eqhwan terleka dengan ketidakmatangan, sahabat-sahabat seperjuangan terus peka memberi bimbingan.

   Nah! Itu hebatnya ukhwah islamiah! Saling lengkap-melengkapi sesama muslim, dan terus setia memberi peringatan. Kini, Ustaz Pauzi, Ustaz Yus, Ustazah Fadhilah dan seluruh warga sekolah sudah mampu tersenyum bangga melihat perubahan yang tercipta.

   Syiar Islam pula semakin tertegak di asrama tersebut. BADAR semakin hari semakin mesra pelajar. Tidak perlu dipaksa, semua pelajar dengan rela hati menhadirkan diri di musolla untuk berjemaah. Apatah lagi tatkala berlangsungnya sesi tazkirah, serta apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi BADAR, semuanya diturut serta dengan gembira.

   Dalam pada masa yang sama pula, Anas, Amin dan Eqhwan semakin sukses dalam haluan masing-masing. Pada minggu lepas, pasukan debat sekolah yang disertai oleh Eqhwan telah melayakkan diri ke peringkat kebangsaan. Aminudin pula berjaya meraih gelaran juara bagi acara sukan badminton pada peringkat negeri. Manakala kumpulan nasyid Suhulus Salam di bawah jagaan Anas pula sedang giat berlatih sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan nasyid peringkat zon utara.

   Alhamdulillah, organisasi BADAR semakin ampuh dan kukuh. Terus bertambah kuat dengan sokongan dan dorongan tentera-tenteranya yang ikhlas bersatu.

   Namun, bukan semua insan yang bernama manusia itu berasa senang dan tenang tatkala melihat pejuang-pejuang Islam meraih kejayaan.

   Sungguh. Ada hati hitam yang sedang memerhati !


*   *   *

   “ARRRGGGHHHHH !!!”

  Antagonis tersebut menjerit seorang diri. Segala rancangan kejahatannya mahu menghancurkan organisasi BADAR semakin pudar.

   “Tak guna! Macam mana pula budak bertiga tu boleh berbaik?! Rosak rancangan aku! Rosak!”, rambutnya berserabut, hatinya langsung tidak wujud perasaan tenang.

   Tiba-tiba, dia mendapat ilham. Ilham untuk menjahanam ! Satu lirikan keji terukir pada wajah si antagonis berhati hitam. “Hehehe .. Kalau rancangan aku untuk menghancurkan BADAR secara halus bertemu kegagalan, maka, aku akan laksanakan ia secara terang-terangan!”

   Si antagonis segera mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menghubungi senjata pemusnah. Satu talian nombor didail pantas.

   “Hello.”, suara antagonis kedengaran serius tatkala berbicara dengan insan di hujung talian.
   “Pailang, aku perlukan bantuan kau.”

   Talian dimatikan seusai bicara. Si antagonis tersenyum kekejaman. “BADAR, aku akan hancurkan kau! HAHAHAHAHAHAH !!!”

   Tertawa. Penuh kezaliman !


0 comments:

Post a Comment