Saturday 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 6 : LAWAN ! LAWAN ! LAWAN !


   Tersenyum.

   Satu senyuman indah terukir jelas pada wajah Ketua PRS tersebut. Pada hari ini, terbulatnya tekad. Setelah hampir dua minggu pemuda berkaca mata tersebut memikirkan semasak-masaknya akan segala konsekuensi yang bakal ditempuh, akhirnya hati yang dahulu tertutup kini terbuka.

   “InsyaAllah! Aku boleh jadi BADAR yang baik!”

   Tercetus bicara semangat daripada bibir yang masih tersenyum ceria. Langkahan dipercepat menuju ke kamar guru. Muallim yang tersayang sedang setia menunggu.

   “Assalamualaikum ustaz!”, lontaran salam penuh ikhlas. Lantas, Ustaz Pauzi yang sedang asyik menonton paparan video daripada komputer riba terus mengalihkan pandangannya terhadap Ketua PRS tersebut.

   “Wa’alaikumussalam. Eh, Eqhwan? Mari, mari. Duduk kat sini.”, pelawa Ustaz Pauzi penuh mesra. Sebuah kerusi telah pun lengkap tersedia.

   “Amboi, ustaz. Khusyuk je tengok video. Cerita apa? Thor The Dark World?”, Eqhwan bercanda. Gurauan tersebut menerbitkan senyuman pada wajah insan bernama ustaz. “Eh kamu ni Eqhwan. kelolo .”, Ustaz Pauzi melontarkan sebuah perkataan berdialek Terengganu. “Saya tengok video nasyid ni. Sedap sungguh suara Anas.”, sambung ustaz lagi.

   ZUPPP!!!

   ‘Anas?!’, hati kecil Eqhwan bagai terkena panahan elektrik berkuasa tinggi. Mengapa nama lelaki yang suatu masa dahulu pernah cuba menjatuhkannya disebut pula oleh insan bernama Ustaz Pauzi? ‘Ah! Spoil the mood!’, bisikan keluhan tercetus spontan.

   “Ohh.. Tahniah ustaz, saya dengar Kumpulan Suhulus Salam menang pertandingan nasyid malam tadi. Alfu mabruk ya ustaz.” Pujian Eqhwan disertakan sekali dengan sebuah senyuman. Keikhlasan sifar. “Ya, Alhamdulillah. Berhasil juga usaha yang Anas kerahkan selama ini.”, tambah ustaz pula, wajahnya tidak lentur dengan senyuman.

   ‘Arghhh!!! Anas ! Anas! Anas!’, hati Eqhwan mula memberontak.

   “Oh ya Eqhwan, nanti kalau kamu balik kelas, kamu tolong suruh Anas jumpa saya petang ni ya. Saya nak belanja dia RFC.”, pesan ustaz keriangan. Eqhwan mengepal penumbuk sekuat daya, terlalu geram emosinya pada ketika itu.

   Cemburu? Mungkin?

   Lantas, secara tiba-tiba Eqhwan bangkit berdiri. Geseran pada kaki kerusi menghasilkan bunyi yang agak menyakitkan telinga. “Eh? Kamu dah nak balik kelas?”, musykil ustaz. Eqhwan menggagahkan dirinya untuk terus tersenyum. “Ya, ustaz. Waktu rehat dah nak habis ni. Saya balik kelas dulu ya.”

   “Eh jap, ada apa kamu datang jumpa saya ni ya?”, soal Ustaz Pauzi. Seakan-akan baru tersedar akan sesuatu.

   “Saja ja datang, nak dengar ustaz puji Anas.”, jawab Eqhwan penuh kehiprokitan. Namun terlalu sukar untuk dikesan kerana dalam minda Ustaz Pauzi pada ketika itu hanya memikirkan tentang Anas dan kejayaan kumpulan nasyid yang tercipta. Lantas, Eqhwan mengorak langkah pergi, hatinya terus mencaci maki.

   ‘Argghhh! Anas! Anas! Anas! Bikin wa panas! Aku datang sini sebab nak bagitahu pasal aku setuju nak masuk BADAR, bukannya nak dengar cerita pasal mamat poyo tu! Huh!’, jeritan Eqhwan bergempita. Namun tiada manusia yang mampu mendengar.

   “Eqhwan.”

   Tiba-tiba insan bernama Ustaz Pauzi itu memanggil. Langkahan Eqhwan terhenti sambil kepalanya tertoleh kembali memandang wajah ustaz di belakangnya. Masih ada urusan yang belum terusaikah?

   “Nanti kamu kirim salam pada Anas ya?”, senyuman Ustaz Pauzi mengiringi bicara riangnya.

   “InsyaAllah, ustaz.”, jawab Eqhwan sambil tersenyum. Biarpun hatinya terluka sakit!

   “ARRGGGGHHHHH!!!!!”


*   *   *


   “Amin amin Ya Rabbal ‘Alamin…”

   Tapak tangan meraup wajah dengan penuh kelembutan. Pemuda bernama Anas Asyraf baru sahaja usai menunaikan solat sunat hajat di musolla. Seperti kebiasaan, pada malam itu dia keseorangan tatkala pelajar-pelajar lain sedang melakukan revisi di kelas persediaan.

   Sejadah dilipat kemas. Kemudian Anas memejamkan mata seakan-akan mengesan sesuatu. Nafasnya dihela sedalam mungkin. Ditahan lama. Lantas dihembus puas.

   “Hang? Hang nak apa?”, bicara Anas penuh angkuh. Kepalanya terdongak sedikit sambil matanya masih terpejam rapat.

   “Heh! Aku tak tahu pula yang hang ada sixth sense.”, insan yang sedang berdiri di belakang tubuh Anas menyahut. Nada yang penuh kelicikan. “Itu bukan urusan hang. Jawab soalan aku tadi, hang nak apa hah … Eqhwan?!”

   Soal Anas dengan nada suara yang sedikit meninggi, tidak mahu dirinya terganggu dengan kehadiran insan bernama Eqhwan di hadapannya. “Wow, wow … Chillax Anas, Chillax. Aku datang sini dengan keamanan. Wat lek wat peace.”, tangan Eqhwan tegar menggayakan simbol keamanan.

   Perlahan-lahan, tangan Eqhwan berlabuh pada bahu insan bernama Anas. Sentuhan yang lembut lagi menghangatkan. “Sebenarnya, aku datang jumpa hang malam ni, sebab aku nak cakap tahniah.”, jelas Eqhwan dengan senyuman. Macam ikhlas je.

   “Tahniah Anas. Tak sia-sia ustaz pilih hang jadi Ketua Kumpulan Nasyid. Aku bangga dengan hang, Anas.”, sambung Eqhwan lagi.

   Satu senyuman angkuh tiba-tiba terbit pada wajah Anas Asyraf. “Heh? Itu sahaja? Hang mai jumpa aku malam ni semata-mata sebab nak cakap tahniah? Itu sahaja?”, tangan Eqhwan ditepis serta-merta.
   Eqhwan tersentak!

   “Hang dengar sini baik-baik Eqhwan.”, nada ugutan tercetus pada bicara Anas. Eqhwan menelan cecair liur. “Kumpulan nasyid aku menang atas dasar usaha yang telah aku kerahkan selama ini. Dan, kemenangan yang kami peroleh, langsung tiada kena mengena dengan Ustaz Pauzi!”

   DUSHUUMMM!!!

   Satu tumbukan padu terbit pantas pada pipi pemuda bernama Anas. Semuanya berlaku dalam sekelip mata!

   “Anas! Hang ni memang betul-betul dah melampau! Hang boleh tepis tangan aku, hang boleh sakitkan hati aku, tapi kalau hang cakap yang bukan-bukan pasal ustaz aku … Hang memang nahas!”, serangan amarah terus dilancarkan Eqhwan. Terlalu geram dengan keangkuhan Ketua Kumpulan Nasyid tersebut.

   DAP!

   Satu sepakan hampir terkena pada bahagian perut Anas, mujur sahaja pemuda tersebut lebih tangkas menahan. “Hang ingat aku buta ka Eqhwan?! Aku tahu selama ini hang rapat dengan ustaz pun sebab hang nak jadi BADAR kan?! Dasar gila jawatan!”, teriak Anas. Serangan balas tercipta.

   DUSHH!

   “ARGGHHH!!!”

   Wajah Eqhwan tertumbuk padu. Cermin mata yang tersarung kemas terus tertanggal. “Tak guna! Aku akan pastikan han mati malam ni Anas!”, Eqhwan berdengus dahsyat. Tendangan padu cuba dilancarkan sekali lagi. Anas pula terus bertindak tangkas, pemuda tersebut tegar melancarkan serangan balas.

   “YARRGGHHHH!!!”

   PAP ! PAP ! PAP !

   Tendangan hampir bertemu mangsa, namun segalanya terhenti tatkala dua pemuda menangkap seruan bunyi. Itu, bunyi tepukan.

   “Hahahahah! Tahniah, tahniah.”, satu deraian tawa mengiringi bunyi tepukan. Tuan empunya tawa kelihatan begitu puas serta penuh keangkuhan. “Ketua PRS yang gila jawatan, dan Ketua Kumpulan Nasyid yang terlalu taksub dengan nasyidnya, bertumbuk?”, terus memerli.

   Anas dan Eqhwan berdengus dahsyat. Amarah dua pemuda kian memuncak tatkala ego kelelakian mereka dipijak-pijak! “Apa gerangan hang datang ke mari hah … Amin?!”

   “Hahaha! Aku ke mari sebab nak tengok wajah sebenar hampa berdua! Bagus! Sangat bagus … Pelajar-pelajar macam hampa nilah yang amat-amat organisasi BADAR perlukan!”, peluru perlian terus ditembak ke arah mangsa-mangsanya. Aminudin berdiri dengan penuh kemegahan melihat pesaing-pesaingnya direndahkan darjat mereka.

   Perlahan-lahan, Eqhwan dan Anas mengukir senyum. Sekata.

   “Anas! Sekarang!”, teriak Eqhwan.

   “Ya!”, sahut Anas.

   Dengan penuh ketangkasan, Eqhwan dan Anas berlari kencang ke arah Aminudin yang sedang berdiri tanpa kekuda juang. Sepantas kilat, Eqhwan melancarkan tendangan padu pada bahagian dada Aminudin. Pasa masa yang sama juga, Anas terus mencipta sepakan deras pada bahagian belakang lutut Aminudin yang dibencinya.

   “ARRGGHHH??!! Apakah?!”, Aminudin tersentap! “Eqhwan dan Anas bergabung?! Apakah ini?!”

   PANNGGGG!!!

   Tubuh Amin tersembam menghentak bumi. Sakit ya amat! “ARGGHHHHH!”

   Anas dan Eqhwan kembali berdiri dengan kekuda seni pertahanan diri masing-masing. Penuh bergaya! Persis Hang Tuah dan Hang Jebat!

  “Heh! Aku mungkin bencikan Anas…”, kata Eqhwan.

   “Dan aku mungkin bencikan Eqhwan…”, sambung Anas.

   “Namun, kebencian kami terhadap hang Amin, adalah lebih dahsyat daripada itu!”, teriak Eqhwan dan Anas tersentak. Aminudin sedang mengerang kesakitan sambil tubuhnya terlantar di atas lantai.

   “Ahhh! Tak guna! Rupa-rupanya, aksi bertumbuk tadi adalah sandiwara semata-mata?!”, pekik Aminudin. Dirinya sudahpun termasuk ke dalam perangkap yang dicipta oleh Anas dan Eqhwan. Pemuda bertubuh sasa tersebut segera membangunkan posisi diri. Aminudin sedia beraksi!

   “ARRGGHH!”, satu tumbukan rakus dilancarkan terhadap wajah Eqhwan di hadapannya.

   DUSH!

   Tumbukan Amin menjamah angin, tangannya dipegang oleh Anas dari arah berlawanan. Dengan segera, tubuh Amin dikunci pergerakannya oleh Anas. “Ahh! Tak guna!”, cubaan memberontak dilancarkan Amin, namun bertemu kegagalan. “Jangan harap Amin! Malam ni hang akan mampus!”, kata Anas penuh amarah!

   “Hehehe. Mungkin, dari segi fizikalnya, hang lebih kuat daripada kami. Tapi, bila kami berdua bergabung … Hang tak ubah macam sampah!”, Eqhwan mula mengeji. Perlahan-lahan pemuda tersebut melangkah ke arah Aminudin yang sedang bergelut dalam cubaan melepaskan diri.

   “Hang rasakan ni Amin!”

   DUSH !!!

   “ARGGHH!!”

   Wajah Amin ditumbuk sepenuh kudrat oleh Eqhwan. “Yang itu untuk Azim!”, bicara Eqhwan. Nama pelajar tingkatan satu itu disebutnya. “Aku tak kisah kalau hang nak nasihatkan junior-junior aku, tapi kalau dah sampai tahap hang patahkan raket dia, hang cederakan tangan dia … Hang ingat aku akan diam?!”, teriak Eqhwan penuh emosi.

   DUSHHH!!!

   “AAAHHHHHHH!!!”

   Belakang tubuh Amin dihentak kuat dari arah belakang. Kini, giliran Anas pula. “Hang ni Amin, memang sengaja cari nahas! Aku tak kisah kalau hang nak kutuk aku, atau hang nak sakitkan hati aku. Tapi pantang datuk nenek moyang aku, kalau ada orang yang cuba nak menjatuhkan maruah aku di hadapan orang ramai!”, teriak Anas pula. Peristiwa tatkala Aminudin menjadikan dirinya sebagai contoh insan berzina hati masih segar dalam coretan dendam. Dan pada malam itu, dendamnya terbalas!

   Amin tertunduk lemah. Bibirnya kian berdarah memaparkan betapa peritnya jasad terhentak. Namun, ada perkara yang jauh lebih sakit daripada itu. Ya, … hati. Hati insan bernama Aminudin benar-benar hancur terluka! Amarah dendam kian membara!

   “ARGHHH!!! ANAS ! EQHWAN! HAMPA MEMANG NAK MAMPUS!”

   Teriak Aminudin mengganas. Secara drastikal, Aminudin mengorak serangan balas penuh kerakusan!

   DUSH !!! PANGG!!!

   Bahagian abdomen Ketua PRS itu ditumbuk dengan jutaan kudrat, manakala Ketua Kumpulan Nasyid pula ditendang dahsyat pada bahagian paha. Semua itu berlaku dalam sekelip mata!

   “AHHH!!!”, Anas dan Eqhwan meronta kesakitan. Senak dan pedih!

   “Orang macam hampa berdua hanya akan memusnahkan organisasi BADAR! Dan aku takkan biarkan itu terjadi! Aku akan pertahankan perjuangan BADAR sehingga ke titisan darah yang terakhir!”, lontaran ikrar dari insan bernama Aminudin.

   Perlahan-lahan Anas dan Eqhwan bangkit berdiri. Jasad mereka cedera akibat serangan balas yang terlancar sebentar tadi. Nyata, Aminudin itu bukan calang-calang orangnya. Namun, dek kerana kegeraman, Anas dan Eqhwan terus tegar berdiri.

   “Heh! Pertahankan perjuangan BADAR?”, herdik Anas.

   “ … Dengan kekerasan?”, perli Eqhwan pula. “Hoi Amin! Kalau hang nak tau, orang macam hang nilah yang menghancurkan organisasi BADAR!”, teriak Eqhwan penuh perasaan.

   Aminudin tersentak kegeraman!

   “Cilakha! Hampa memang menempah maut!”, kuat Aminudin berteriak mengiringi larian kencangnya menuju ke arah Eqhwan dan Anas. “Ah! Pantang maut sebelum ajal!”, sahut Anas dan Eqhwan. Dua pemuda tersebut turut sama berlari ke arah pesaing perdana mereka. Serangan balas terlancar!

   “AAAARRRGGGGHHHH !!!!!”

   Jeritan tiga pemuda bergempita di ruangan musolla! Masa bergerak perlahan secara tiba-tiba bagai menanti detik pengakhiran. Masing-masing dengan amarah tinggi melangit.

   Apakah ajal menjadi jawapan?

   Apakah nyawa jadi taruhan?

   DUP!

   SWOOOPPP!!!

   Pergerakan tiga pemuda terhenti serta-merta! Tubuh mereka tersekat dan disekat!

   “Anas! Eqhwan! Amin! Berhenti!”, jerit Redzuan Ahmad melontar arahan keras. Ketua pelajar tersebut menggunakan tubuhnya yang sasa untuk mengunci pergerakan Anas Asyraf.

   “Bawa mengucap Eqhwan!”, teriak Paiq sambil menahan tubuh sahabatnya daripada terus menyerang rakus.

   “Sabar Amin! Sabar!”, seruan kesedaran dilafaz Sufian, Penolong Ketua Pelajar di asrama tersebut. Sufian mengerahkan seluruh kudratnya bagi menghentikan pergerakan Aminudin yang amat bertenaga. Sufian turut dibantu oleh Zakri Zainur bagi menjadikan pertahanan mereka bertambah ampuh. Masakan tidak? Aminudin itu bisa berubah buas!

   “ARRGGHHH!!! Lepaskan aku Pian! Lepaskan aku Zakri!”, jeritan Aminudin mengiringi rontaan jasadnya. Amarah dendam masih jauh dari titik reda. Eqhwan dan Anas perlu dihapuskan!

   “ARGGGHHH!!!”, menjerit dan terus menjerit. Batin Aminudin terseksa, jiwanya terus menderita. 

“Lepaskan aku … Lepaskan aku!”, Aminudin terus memaksa. Emosinya langsung tidak stabil. Nafas Anas dan Eqhwan turun naik bertambah laju. Mereka turut kegeraman, namun masih dalam mod kawalan.

   “Astaghfirullah! Apa sudah jadi ni?!”, musykil Ustaz Yus. Beliau baru sahaja tiba di musolla kawasan tragik kejadian. Di samping Ustaz Yus, berdirinya Iskandar, pasti pemuda tersebut yang telah melaporkan kepadanya akan perihal pergaduhan tiga calon BADAR tersebut.

   Wajah Anas dan Eqhwan kelebaman teruk. Manakala darah merah pekat pula menghiasi bibir insan bernama Aminudin.

   Apakah ini pengakhiran bagi perjuangan BADAR?

0 comments:

Post a Comment