Saturday 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 4 : ZINA HATI !


   “Korang! Korang! Aku terpilih untuk join kelab debat!”, pemuda berkaca mata berlari-lari anak mendapatkan dua sahabatnya. Sungguh keriangan.

   “Wah tahniah! Kan aku dah habaq, hang pun ada potensi.”, pujian seorang sahabat. Penuh ikhlas.

   “Cewah … Puji orang melangit! Kalau hang nak tau, dia ni terpilih untuk join nasyid sekolah, baq kat hang!”, kata sahabatnya yang satu lagi sambil tangannya menepuk-nepuk bahu ahli baru nasyid sekolah tersebut.

   “Wahhhh! Hebat gila! Suara kau dah la sedap! Confirm sekolah kita menang peringkat kebangsaan tahun ni!”, pemuda berkaca mata berasa amat kagum. “Hahaha… Amin! Semoga doa hang jadi kenyataan. Eh jap, hang tau tak yang mamat ni jadi calon AKATSUKI?”, kata pemuda nasyid sambil memaut mesra bahu sahabatnya tadi.

   “Ahh? AKATSUKI? Itu bukan kumpulan penjahat dalam cerita Naruto ke?”, soal pemuda berkaca mata terpinga-pinga.

   “Hahaha! Hang ni kelakarlah! Banyak sangat tengok kartun. AKATSUKI tu ialah AngKATan berSaUdara Kerohanian Islamiah lah. AKATSUKI ni anak didik BADAR. InsyaAllah semua ahli AKATSUKI akan terpilih jadi BADAR tahun depan.”, jelas pemuda nasyid ceria.

   “Walaweyh! Bangganya aku dapat kawan dengan bakal BADAR!”, pemuda berkaca mata menyiku-nyiku mesra sahabat AKATSUKI tersebut. Terukir senyuman indah pada wajah sahabat kesayangannya itu. “Haha… Alhamdulillah. Sekarang, kita semua dah ada haluan tersendiri.”

   “Hah? Haluan tersendiri? Hmm…”, pemuda berkaca mata kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu secara mendalam. Dagunya diurut lembut.

   “Korang rasa, kita bertiga ni akan bersahabat sampai bila-bila ke?”


*   *   *

   “Eqhwan, kamu dulu sekolah agama ke?”, tanya Ustaz Pauzi.

   ‘Erkkk?! Ustaz ni peril aku ke?’, monolog Eqhwan. Pelajar yang suka bersosial sepertinya, sekolah agama? Mustahil! Kini, Ketua PRS tersebut sedang membantu ustaznya mengemas buku serta beberapa fail pelajar.

   “Eh, mana ada ustaz. Saya sekolah biasa je, sekolah rendah agama pun saya tak pergi.”, jawab Eqhwan sambil tangannya terus giat mengasingkan fail. Ustaz Pauzi sekadar mengangguk membenarkan. Buat beberapa ketika, bilik warden yang sedang digunapakai oleh dua hamba Allah tersebut disapa kesunyian.

   “Eqhwan.”, tiba-tiba ustaz memanggil nama.

   “Ya ustaz?”, respon Eqhwan tanpa memandang ustaz di sampingnya. Tangannya terus rancak bekerja. Ustaz Pauzi menarik nafas dalam dalam, seolah-olah mahu melafazkan suatu perkara yang amat serius serta berat. Hah!

“Eqhwan … Kamu nak jadi BADAR?”


*   *   *

   Keseorangan. Pemuda itu senantiasa keseorangan, dan dia selesa begitu. Benteng privasi begitu ampuh bagi menjana konsentrasi diri. Di musolla itu, pemuda berhasrat mahu terus menuntut ilmu seperti hari-hari sebelumnya.

   Namun, nyata, kali ini dia gagal. Anas gagal.

   Semenjak peristiwa tiga hari lepas, ya, peristiwa terhantuk dengan sang bidadari dunia bernama Elisa. Hati Anas langsung tidak keruan. Mandi tidak basah, makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Study? Apatah lagi!

   Elisa … Elisa … Elisa …

   Wajah gadis sunti tersebut telah merasuk jantung hati pemuda bernama Anas Asyraf. Matanya terpejam rapat. Sesak antara cinta dan cita!

   “Astaghfirullah! Tak boleh jadi ni!”, dengan segera buku rujukan biologi yang amat tebal ditutup terus. Fokusnya terganggu. Anas segera menyucikan diri di bilik wudhuk, dan kemudiannya menunaikan solat sunat hajat bagi memohon solusi serta hidayah daripada Ilahi. Usai bersolat sunat dua rakaat, tangannya menadah meminta doa.

   “Ya Allah, sungguh, aku hamba Mu yang lemah. Tidak bisa bernafas di muka bumi ini tanpa izin-Mu Ya Allah. Maka aku pohon pada-Mu wahai Yang Maha Mengetahui, sekiranya perasaan cinta dan rindu ini membawa aku dekat pada-Mu, maka Kau mekarkanlah ia Ya Allah. Dan sekiranya perasaan cinta dan rindu ini membawa aku ke arah kebodohan, maka ….”, mata Anas terpejam rapat. Mengumpul kekuatan untuk terus berdoa.

   “Kau hapuskanlah ia Ya Allah!”, tanpa disedari, titisan mutiara jernih membasahi wajah suci seorang pemuda bernama Anas Asyraf. Hatinya terasa sedikit lapang, kerana itu memang fitrah manusia. 

Memerlukan Dia sepanjang masa, dan berdoa kepada-Nya menjadi senjata. Senjata perkuat jiwa nan gelora.

   Usai bersolat, Anas tidak terus mengulangkaji semula. Pemuda tersebut memerlukan ‘oksigen’ tambahan. Kakinya melangkah lemah mencari telefon asrama. Suara ibu pengubat lara. “Ah! Ada smartphone kena rampas!”, bebel Anas sendirian sambil kakinya terus melangkah.

   Di asrama tersebut sepatutnya kosong tanpa pelajar kerana semua pelajar diwajibkan untuk melakukan revisi di kelas masing-masing sewaktu prep malam. Tapi bukan Anas. Anas mencipta peraturan sekolahnya yang tersendiri.  Pemuda tersebut lebih senang mengulangkaji di musolla.

    Setibanya pemuda tersebut di kawasan telefon asrama, tangannya segera mendail nombor telefon insan yang paling disayanginya selepas Rasulullah SAW di muka bumi ini.

   Ibu.

   “Assalamualaikum, ma.”, suara Anas kedengaran hiba.

   “Anas ada masalah lah ma. Ada seorang junior perempuan ni … Nama dia Elisa. Anas….”, satu persatu Anas luahkan kepada ibunya yang tercinta.

   “Anas suka kat Elisa.”, jelas Anas penuh ikhlas. Si ibu pula setia melayan luahan perasaan anak lelaki kesayangannya. Pada malam itu, Anas terus mengadu, kerana jiwa shababnya terganggu.

   Dari jarak yang tersembunyi, tanpa disangka-sangka sepasang telinga sedang mencuri-curi dengar perbualan Anas dengan ibunya yang tercinta.

   Telinga tersebut dimiliki oleh Aminudin, masih kekal dengan senyuman licik.

   “Heh! Elisa ya?”, bicara Amin dalam nada perlahan sambil matanya terus memandang Anas di kawasan telefon asrama. Akal fikiran Aminudin ligat mengatur rancangan.

   Rancangan menghancurkan!

*   *   *

   Hingar-bingar.

   Seperti kebiasaan, setiap hari Khamis malam Jumaat, sesi malam kerohanian akan berlangsung di musolla asrama tersebut. Usai bersolat maghrib secara berjemaah, para pelajar akan bersama-sama menunaikan solat sunat hajat serta bacaan Surah Yaasiin secara halaqoh. Pada malam tersebut, sudah tentu yang berperanan besar adalah anggota BADAR.

   Lazimnya, setelah bacaan Surah Yaasiin dan tahlil ringkas dibaca, sesi tazkirah pula berlangsung. Sungguh, peringatan itu amat bermanfaat bagi insan bergelar mukmin. Namun sayangnya, ramai pelajar yang memandang enteng terhadap sesi tazkirah tersebut. Mereka lebih gemar berbual-bual kosong sewaktu pelajar lain memberi tazkirah di hadapan, manakala geng-geng Cik Kiah pula sempat menganyam ketupat di ruangan solat muslimah.

   Mungkin ilmu mereka sudah terlalu tinggi sehingga langsung tidak layak diberi tazkirah?

   “Baiklah, seterusnya saya akan menyerahkan majlis kepada saudara Aminudin Che Omar. Dipersilakan.”, bicara Syahrul Asyraf, selaku emcee sesi tazkirah pada malam tersebut. Mikrofon diserahkan kepada Aminudin.

   Suasana berubah serta merta.

   Tatkala Aminudin berdiri hadapan, pemuda tersebut seolah-olah melontarkan satu aura yang cukup kuat dan ampuh. Sebelum memulakan tazkirah, Aminudin memandang secara rawak ke seluruh kawasan musolla. Pelajar-pelajar junior yang sedari tadi sibuk bergurau senda terus diam membisu, pelajar-pelajar perempuan pula berhenti menganyam ketupat, malah pelajar-pelajar berstatus gangster juga terdiam serta-merta. Mata dan telinga mereka terfokus ke arah satu jasad yang sedang berdiri di ruangan imam. Dia, Aminudin Che Omar.

   Sungguh, pemuda bernama Aminudin itu cukup berpengaruh!

   Mata Aminudin terus terpancar ibarat lazer mencari seseorang di musolla tersebut. Hah! Jumpa! Mata Aminudin menangkap kelibat Anas yang sedang merenung matanya dengan tajam di satu sudut kawasan musolla.

   ‘Heh! Malam ni, hang akan hancur!’, hati Aminudin berbicara licik.

   “Ilmu itu cahaya. Dan cahaya itu langsung tidak akan bersama kegelapan.”, kata Aminudin sebagai introduksi kepada topik tazkirah pada malam tersebut. Kemudian lafaz basmalah, salam, tasbih dan selawat pula menyusul.

   “Kegelapan yang saya maksudkan adalah kegelapan hati. Saya mahu bertanya, bagaimana hati kita yang pada asalnya terang boleh berubah gelap?”, soal Aminudin kepada pelajar-pelajar di hadapannya. Semua sekadar terdiam kerana tahu bahawa soalan tersebut merupakan satu soalan  retorikal semata-mata.

   “Hati kita menjadi gelap akibat terkena virus zina hati!”, suara Aminudin dikuatkan apabila menyebut perkataan ‘zina hati’. Amat serius wajahnya pada ketika itu. Pelajar-pelajar yang memahami terus mengangguk, manakala yang tidak pula terus terlopong. “Dan salah satu punca wujudnya zina hati adalah apabila seseorang insan itu mula memikirkan perkara-perkara mazmumah sehingga memesongkan pemikirannya daripada mengingati Allah SWT.”

   Aminudin tersenyum melihat perhatian penuh daripada para pelajar yang diberikan kepadanya.
 “Saya bagi satu contoh … Anas.”, tiba-tiba Aminudin berkata. Lantas, Anas terus tersentak apabila namanya disebut. ‘Cis! Apa yang hang nak daripada aku ha Amin?! Dah tiada orang lainkah yang hang boleh jadikan contoh?!’, bisik hati Anas sendiri. Pada ketika itu, seluruh pelajar di musolla mengalihkan pandangan mereka ke arah Anas Asyraf. Wajahnya merah padam.

   “Sabar.”, bisik Redzuan Ahmad yang duduk di samping ketua kumpulan nasyid tersebut. Anas menarik nafas dalam bagi mengumpul kekuatan diri.

   “Seperti mana yang kita tahu, Anas Asyraf merupakan seorang anggota BADAR yang sangat baik.”, tazkirah diteruskan Aminudin. “Kita juga tahu bahawa Anas sering menasihati kita melalui bait-bait lirik nasyidnya yang cukup indah. Namun….”, mata Aminudin memandang tajam mata musuhnya. “Namun tidak mustahil Anas juga turut diserang zina hati!”

   Suasana semakin panas. Para pelajar semakin musykil dan mula membuat andaian masing-masing.

   “Ya, tidak mustahil bukan sekiranya Anas yang kacak bergaya ini menyimpan perasaan terhadap seorang perempuan sehingga makannya tidak kenyang, mandinya tidak basah, malah tidurnya tidak lena.”, sambung Amin lagi. Anas tertunduk malu sambil tangannya tergenggam geram. “Kalau dah sampai mahu mengulangkaji pun konsentrasi terganggu, bukankah itu tandanya hati sudah gelap? Mengapa gelap, kalau bukan kerana zina hati jawabnya!”, tegas Amin.

   Suasana semakin bertambah panas. Aminudin memangkah mangsanya hidup-hidup!

   ‘Padan muka hang Anas! Hari tu hang rakam pergaduhan aku dengan Eqhwan dan kau laporkan pada ustaz, kan? Nah! Ini balasannya!’, dendam Aminudin terbalas.

   “Zina hati yang saya maksudkan adalah apabila seorang lelaki itu mula menyimpan perasaan yang bukan-bukan terhadap seorang perempuan.”, sambung Aminudin lagi. “Dan bagi kes Anas, boleh jadi perempuan tersebut ialah Eli…..”

   “Cukup Amin! Cukup!”

   Anas yang terkenal dengan ketenangannya terus berubah serta-merta pada malam tersebut. Jasadnya berdiri dengan sendiri. Terlalu marah akibat diperkotak-katikkan dihadapan seluruh pelajar sekolah tersebut. Musolla kembali senyap, pandangan para pelajar tertumpu ke arah dua insan yang sedang berdiri tegap.

   Anas dan Amin.

   Tersenyum. Amin tersenyum, kerana baginya dia sudah menang. “Maafkan aku, Anas. Kan aku dah cakap, ‘contoh’ sahaja. Hang terasa kah?”, perli Aminudin. Nafas Anas turun naik laju menahan amarah. Mahu dilawannya di hadapan seluruh pelajar sekolah, di dalam majlis ilmu pula? Tidak, itu bukan cara Anas.

   “Argghhhh!!!”

   Teriak Anas, lantas berdengus. Pemuda tersebut terus keluar daripada musolla dalam keadaan diri dirasuk amarah menggila. Kalau diikutkan hati, memang nahas Aminudin dikerjakannya pada ketika itu.
 
   “Anas!”, panggil Redzuan, sahabat akrabnya. Namun, Ketua Pelajar tersebut tidak mampu melakukan apa-apa bagi menjernihkan keadaan pada ketika itu. Dia sekadar menggeleng lemah.

   Di suatu sudut yang lain, Eqhwan sekadar menjadi penonton setia terhadap peperangan dua ahli BADAR tersebut. Posisi cermin matanya diperbetul.

   Dan ya, Eqhwan tersenyum.

*   *   *


   “Wah! Wah! Wah! Cerita BADAR ni semakin menarik!”

   Antagonis misteri itu berdialog sendiri. Dari ruangan kamarnya, dia terus memerhati gelagat tiga pelajar yang berada dalam senarai hitamnya.

   Amin, Eqhwan dan Anas.

   “BADAR ya? Bodoh! HAHAHAHAHA!”, tawa kezaliman berderai kuat!

   Hitam. Hatinya hitam serta gelap gelita akibat dibakar api dendam. Dan sungguh, dengan api dendam yang membara itu, sang antagonis berikrar mahu menghancurkan organisasi BADAR sehancur-hancurnya!

   “MUAHAHAHAHAHAHAH!!!!!”


0 comments:

Post a Comment