Saturday 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 1 : KERANA KITA BERBEZA




   Pemuda berkaca mata tersedu-sedan menahan pilu. Teresak-esak tangisan mengiringi air mata yang beraliran.

   “Mama… Mama….”, bicara penuh kesyahduan. Dia menangis seorang diri.

   “Hai, kenapa hang nangis?”, tiba-tiba satu suara lembut menyapa ramah. Pemiliknya yang seusia tetap dengan senyuman.

   Air mata dikesat. Malu, mungkin? “Mama aku… Mama aku dah balik Selangor. Aku tak biase la dudok asrama. Kat Kedah pula tu!”, jelas pemuda tingkatan satu tersebut. Hidungnya berhingus lendir.

   “Ooohhh… Hang orang Selangoq? Tak apalah, aku kan ada. Aku akan jadi kawan hang.”, kata rakan baru tersebut dalam loghat utara. Wajahnya bersinar dengan senyuman. Pemuda yang sebentar tadi menangis semakin tenang.

   “Lelaki mana boleh menangis.”, muncul satu lagi suara mencelah. Dua pemuda tadi menoleh ke belakang. Pemuda yang baru hadir itu turut tersenyum. “Kita kena kuat, barulah hebat!”, bicaranya penuh bersemangat. Semangat yang terus menusuk ke dalam sanubari insan yang mendengar.

   Tangisan bertukar senyuman. Pemuda tersebut berasa senang dengan dua rakan barunya. Pengembaraan di dunia asrama sebagai pelajar tingkatan satu amat ditakutinya. Namun, dengan kehadiran dua rakan baru, dia yakin bahawa dia mampu bertahan.

*   *   *

   “Jadi, bagaimana? Dah ada calon Ketua BADAR?”

   Ujar Ustazah Fadhilah kepada dua rakan sejawatnya. Di dalam Bilik Gerakan Pendidikan Islam itu, tiga murobbi sedang bermusyawarah.

   Ustaz Yus tetap terpejam, memikirkan kerumitan serta komplikasi yang timbul. Nafasnya dihela panjang, lantas dihembus. Berat. “Hmm… Tahun ni agak sukar. Kita ada Amin, kita ada Anas. Bagi saya, dua-dua boleh memainkan peranan sebagai Ketua Badar. Cuma ….”

   Sepi menyapa ruang, kata-kata Ustaz Yus tersekat di kerongkongan.

   “Perangai mereka?”, Ustaz Pauzi menyimpul andaian. Ustazah Fadhilah dan Ustaz Yus mengangguk mengiyakan. Tidak perlu berselindung. Semua orang cukup arif akan sifat serta sikap dua pelajar yang amat terkenal di sekolah tersebut.

   Amin menjadi mahsyur dengan kekuatan serta kepanasbaranannya.
   Anas pula mahsyur dengan kelunakan suara serta egonya yang tinggi.

   “Masalah perdana sekarang adalah Anas dan Amin tak mungkin bersatu. Dua-dua berbeza pandangan dan cara. Sekiranya tampuk pemerintahan BADAR berpecah, bagaimana pula dengan anak-anak buah? Bagaimana pula dengan seluruh sekolah?”, sambung Ustaz Yus lagi. Sungguh, Ustaz Yus amat menitikberatkan kesatuan dalam kalangan pelajar , kerana dia yakin dan percaya bahawa hanya dengan kesatuan, keharmonian dapat dikecapi.

   “Jadi, bagaimana?”, kemusykilan Ustazah Fadhilah masih belum terungkai. Ustaz Yus pula memandang sahabat karibnya sambil mengangkat kening sebelah.
   Ustaz Pauzi tersenyum, “Saya ada idea.”

*   *   *

   “Arghhh! Siapa pula curi selipar aku ni?!”

   Eqhwan membebel sendirian sambil matanya melilau ke sana sini mencari sepatunya. Usai solat Isyak berjemaah di surau sebentar tadi, pemuda tersebut ‘melabur’ sebentar di kamar tandas. Namun, sekembalinya dia ke surau, seliparnya sudah pun dikebas pelajar lain.

   “Brengsek!”, carutan terlafaz spontan. “Eh? Ada satu lagi selipar lah.”, bicara Eqhwan sendirian sambil matanya menangkap sepasang selipar di luar surau.

   “Gerangan siapakah tuan empunya selipar ini?”, musykil Eqhwan sambil matanya menjenguk kembali ke dalam surau.

   “Eh?”

   Ternampaknya seorang pelajar junior sedang duduk sendirian. Fokus Eqhwan diperkasakan. Esakan daripada pelajar tersebut semakin didengari. Menangis. Hati Eqhwan bertambah musykil. Perlahan-lahan pemuda berkaca mata mengatur langkah mendekati pelajar junior tersebut.

   “Dayat?”

   Pelajar tingkatan satu tersebut disapa namanya. Lantas, Hidayat segera menyeka mutiara yang membasahi wajah suci agar tidak terlihat dek senior yang mendekatinya. “Eh, Abang Eqhwan? Awat tak pi prep lagi?”, sengaja persoalan diutarakan. Satu senyuman terukir pada wajah Hidayat. Tawar.

   “Dayat… Kenapa ni?”, soalan Hidayat pergi dibawa angin, tidak berjawab. Eqhwan mengambil posisi duduk bersebelahan dengan junior tersebut. Perlahan-lahan, tangan Eqhwan memegang bahu Hidayat bagi mengalirkan aura sokongan serta kekuatan.

   Hidayat sekadar tertunduk. Menggeleng.

   “Dayat ada masalah ke? Ceritalah kat abang.”, asas-asas kaunseling yang dipelajari sewaktu kursus kepimpinan dahulu dipraktikkan penuh sempurna. Terus memujuk.

   Masih terdiam, langsung tiada kata yang mampu dilafazkan. Sedih. Amat sedih. Perlahan-lahan, air mata keperitan yang cuba disekat kembali mengalir. Hidayat hiba. Eqhwan bertambah musykil, tangannya menggosok-gosok belakang tubuh pelajar tingkatan satu tersebut bagi menenangkan junior yang bernama Hidayat itu.

   “Arghhh…!  Jangan Abang Eqhwan.. Badan saya sakit…”, kata Hidayat berselang-seli dengan tangisan. Jelas kedengaran nada keperitan yang dihadapinya.

   “Sakit?”, keraguan Eqhwan bertambah. Tangannya dapat merasakan bengkak pada belakang tubuh junior tersebut. Baju Melayu yang disarung Hidayat diselak perlahan oleh Eqhwan. Jantung Eqhwan berdegup kencang!

   “Ya Allah, Dayat! Lebam ni!”
  
*   *   *


   Penuh bertenaga. Manakan tidak, bernasyid itu kekuatan ampuh milik Anas Asyraf. Suaranya yang merdu mampu mencair serta menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

   “Subhanallah, sedap sungguh suara kamu Anas.”, puji Ustaz Pauzi penuh ikhlas yang juga merupakan jurulatih bagi kumpulan nasyid Suhulus Salam pada tahun tersebut.

   ‘Heh! Gila tak sedap?’, monolog Anas.

   “Alhamdulillah, ustaz. Semua ni daripada Allah.”, respon Anas sambil tersenyum manis.

   “Kamu setuju kalau saya jadikan kamu ketua kumpulan nasyid pada tahun ni?”, lamar Ustaz Pauzi. Anas Asyraf telah menyertai kumpulan nasyid semenjak daripada tingkatan satu lagi. Pengalamannya dalam bidang nyanyian amat luas sekali. Sudah beberapa kali pelajar tersebut berjaya membawa kumpulan nasyid Suhulus Salam ke pentas kejuaraan.

   Masih tersenyum. Andaian Anas tepat mengena! “Ustaz, saya setuju dengan tawaran ustaz. Tapi dengan dua syarat.”, jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan Anas diangkat bagi menunjukkan simbol ‘dua’.

   Mata Ustaz Pauzi terbeliak, namun dia mampu mengagak akan kerenah pelajarnya itu. “Dua syarat?”

   Anas mengangguk. “Yang pertama, tahun ni saya nak menyanyi solo … Dan yang kedua…”

   Ustaz Pauzi menelan air liur. Gulp! Bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.

   “Saya nak jadi Ketua Badar.”

*   *   *

   “Temuduga BADAR?”

   Amin berdialog seorang diri. Matanya tertumpu tepat ke arah kertas hijau yang tertampal pada papan kenyataan. Di kawasan koridor itu agak sunyi kerana rata-rata pelajar akan mengulangkaji pelajaran di kelas masing-masing.

   Mata Amin terpejam rapat, memikirkan sesuatu yang amat berat.

   Pelajar bertubuh sasa tersebut merupakan calon Ketua BADAR di sekolahnya, namun bukan jawatan itu yang dikejar. Hasrat Amin hanya satu, mahu syiar Islam tertegak di muka bumi. Tidak kiralah apa jua metadologi serta mekanisma yang dilancarkan, apa yang menjadi keutamaan adalah Islam itu berada di tempat yang tertinggi.

   Meskipun dia terpaksa melakukan kekerasan.

   Pun begitu, Amin sedar akan kekurangan dirinya. Sikapnya yang panas baran sering sahaja menimbulkan komplikasi dalam perjuangan. Apa yang pasti, Amin berhasrat tinggi mahu merubah sikapnya agar menjadi lebih tenang dan terkawal.

   “WOI AMIN!”

   Tiba-tiba satu suara kasar menarik Amin kembali ke alam sedar. Secara automatik, kepala Amin tertoleh ke arah tuan empunya suara. Tidak berselipar.

   “Hang … Eqhwan? Dah tak reti nak bagi salam ka?”, soal Amin, cuba mengawal kemarahan.

   “Ni ha salam hang!”

   DUSH!

   Satu tumbukan padu hinggap pada wajah Amin secara tiba-tiba. Tubuh Amin tertolak ke belakang akibat reaksi momentum yang terhasil daripada tumbukan tersebut.

   “Hang pasaipa?!”, serangan balas dicorak! Amin berlari kencang ke arah Eqhwan, lantas tendangan balas dilancarkan.

   DUSHUM!

   “Argghh!!”, pemuda berkaca mata cuba mengelak, namun gagal. Sisi tubuhnya menjadi mangsa kerakusan tendangan Aminudin. Tendangan tersebut tidak akan menjadikan Eqhwan lemah, kerana sungguh, dirinya sedang dirasuk amarah.

   “Hang buat apa kat Dayat?! Badan dia bengkak, bodoh!”, amukan Eqhwan menyinga.

   Amin ketawa sinis mendengar kata-kata Ketua PRS tersebut. “Hahaha! Oh.. Abang Eqhwan nak tunjuk hero ya?”, lengan baju Amin disinsing ke paras siku. Bersiap siaga untuk terus menyerang. “Lain kali hang jaga adik hang tu elok-elok. Baru form one dah nak tunjuk kepala!”

   Tanpa membuang masa, Amin terus melancarkan tumbukan rakus. Eqhwan pula pantang berundur, walaupun dia sedar bahawa peperangan fizikal pasti akan dimenangi oleh pihak lawan.

   Amin dan Eqhwan terus berentap. Tanpa mereka sedari, segala tindak-tanduk mereka berdua diperhatikan dari jarak yang tersembunyi. Bahkan turut dirakam!

   “Heh! Amin dan Eqhwan … Masa depan hampa di tangan aku!”


*   *   *

   Kamar gelap.

   Lelaki itu duduk bersendirian bertemankan sepi. Namun, jiwanya tidak pernah sunyi. Kerana jiwanya dibakar dengan api dendam kesumat hitam! Berdendam dengan sebuah organisasi yang digelar … BADAR.

   Berdengus!

   “HAHAHA! BODOH BODOH! Seorang panas baran, seorang gila jawatan, seorang lagi suka ikut kepala sendiri!”

   Dialog keji tercipta sendiri. Hatinya puas, kerana dalam percaturannya, dilihat jelas bahawa organisasi BADAR pada tahun itu akan hancur sehancur-hancurnya!

   “Jagalah korang! BADAR ya? Aku akan pastikan BADAR …”,

   “MUSNAH!”

0 comments:

Post a Comment