Saturday, 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 2 : RAKUS



   “Suara kau sedap la.”, puji pemuda berkaca mata, ikhlas. Rakannya pula sekadar tersenyum.

   “Kau pula handal bermain badminton.”, pemuda berkaca mata memuji sahabatnya yang seorang lagi. Tiga pelajar tingkatan satu itu memang akrab. Sangat akrab.

   “Lain lah macam aku … Aku tak ade ape.”, merendah diri pemuda berkaca mata itu berkata-kata. Keyakinan dan keberaniannya amat tipis dan nipis. Bagi diri pemuda berkaca mata tersebut, istilah ‘hebat’ itu langsung tidak layak buat insan sepertinya.

   Dua rakannya duduk bersebelahan merapati pemuda tersebut. “Hang ni, selalu merendah diri.”

   “Dalam hidup ni, kita kena bersemangat!”

   “Dan ceria!”, sambung rakannya.

   “Kami berdua yakin, hang pun ada potensi diri untuk berjaya.”, suntikan motivasi yang hadir daripada hati nurani.

   “Korang rase macam tu?”, pemuda berkaca mata tersenyum, seolah-olah harapan itu masih ada.
   Dua sahabat karibnya tersenyum ikhlas.

   “Ya! Kami yakin dan percaya! InsyaAllah boleh!”

*   *   *

   Di luar bilik guru kelihatan beberapa pelajar lelaki tingkatan lima sedang duduk bersembang sesama mereka sambil menantikan sesuatu. Eqhwan yang memiliki sifat kuriositi yang tinggi sengaja mendekati kumpulan pelajar tersebut.

   Iskandar, Fauzan, Syahrul, Afif, Muaz, Aiman, Alif, Aliff, dan Niyaz sedang berbual-bual ceria. Oh ya, ada seorang lagi … Amin.

   “Assalamualaikum, ape hal ni? Ada mesyuarat agung PIBG ke?”, tegur Eqhwan berseloroh. Rakan-rakan sekohotnya mengalihkan pandangan ke arah pemuda berkaca mata tersebut.

   “Wa’alaikumussalam. Hahaha… Banyaklah kau punya PIBG. Kitorang ada interview BADAR lah.”, respon Iskandar yang turut merupakan salah seorang pelajar yang berhijrah ke Kedah dari bumi Selangor, atau lebih gah dengan gelaran Selangor Rangerz.

   “Ohh… BADAR.”, balas Eqhwan, sambil ekor matanya memerhatikan Aminudin yang langsung tidak terkesan akan kehadirannya. Peristiwa pergaduhan Amin dan Eqhwan tempoh hari dijadikan rahsia. Sama-sama cari pasal, sama-sama sakit. Sekiranya pihak atasan mengetahui perihal ini, sudah pasti tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka berdua.

   “Jom lah, Eqhwan, join BADAR.”, pelawa Niyaz bersahaja.

   Amin berdengus mendengar kata-kata Niyaz. “Heh! Mustahil, dia kan Ketua PRS, mana boleh pegang dua jawatan dalam satu masa. Itu gila kuasa namanya!”

   Kata-kata Amin mendapat perhatian daripada rakan-rakan di sekelilingnya. Tangan kanan Eqhwan digenggam penuh erat. Hatinya tercalar.

   “Huh! Aku tak nak pun jadi BADAR. Aku tahu, ilmu aku tak setinggi ilmu hang Amin. Tapi aku ada nasihat untuk hampa semua.”, respon Eqhwan, kini pandangan rakan-rakan tadi beralih pula ke arah Eqhwan.

   “Nanti, kalau dah jadi BADAR, tolong nasihat orang pakai kepala otak. Bukannya pakai kepala lutut!”, di saat itu mata Eqhwan yang tajam menikam tepat ke arah bebola mata Aminudin.

   Kesabaran Amin terhakis, lantas pemuda bertubuh sasa itu segera berdiri membuka langkah serangan ke arah Eqhwan.

   “Wow wow, bawa bersabar Amin!”, tubuh Amin ditahan oleh Muaz dan Aiman.

   “Hang pasaipa?! Hang mai sini tiba-tiba nak buat aku marah! Hang ingat hang bagus sangat?!”, amarah Amin bermaharajalela.

   Eqhwan tersenyum, emosi Aminudin berjaya digoncang. “Hang terasa?”, kata Eqhwan. Sebagai seorang pembahas sekolah, Eqhwan amat mahir berkata-kata dan hebat memperkotak-katikkan emosi pihak lawan. Ya, mungkin Eqhwan akan tewas dalam perlawanan fizikal, namun dalam pertarungan mental, dialah juara.

   “ARGGHHHHH!!!”, kemarahan Amin memuncak. Mahu sahaja dipijaknya tubuh pemuda berkaca mata yang bermulut pedas itu.

   “Eh! Eh! Ustaz Pauzi datang!”, kata Fauzan setelah melihat kereta MyVi silver diparkir di ruangan tempat meletak kereta. Senyuman Eqhwan bertambah sinis, manakan tidak, pemuda tersebut merupakan pelajar yang amat rapat dengan Ustaz Pauzi.

   Eqhwan mengatur langkah mendapatkan ustaz kesayangannya, Aminudin yang masih dirasuk amuk ditinggalkan begitu sahaja.

   “Ustaz! Ustaz! Assalamualaikum ustaz!”, kedatangan Ustaz Pauzi disambut ceria oleh Eqhwan. Tangannya terlambai-lambai.

   “Wa’alaikumussalam, hah.. Eqhwan.”, balas Ustaz Pauzi sambil menutup pintu keretanya. Anak lelaki ustaz yang bernama Wafi turut hadir bersama ke sekolah pada malam itu. Kebetulan, malam itu Ustaz Pauzi yang bertugas sebagai warden asrama. Eqhwan terus bersalam sambil mencium tangan Ustaz Pauzi, beg laptop pada tangan ustaz segera diambilnya.

   “Meh ustaz, biar saya tolong bawakan.”, kata Eqhwan sambil tersenyum riang. Membodek, itu salah satu kemahiran yang dimiliki Eqhwan. Dari jauh mata Aminudin terus memandang gerak-geri pemuda berkaca mata tersebut. Ustaz Pauzi dan Eqhwan semakin menghampiri kumpulan BADAR tersebut.

   ‘Cis! Mengada-ngada!’, Amin memaki dalam hati sendiri.

   “Ustaz ada apa malam ni?”, ujar Eqhwan sedangkan jawapannya sudahpun lama diketahui.

   “Oh… Saya nak interview ahli-ahli BADAR. Nak cari ketua. Hah, kamu nak jadi BADAR, Eqhwan?”, soal ustaz bersahaja. Telinga Amin bertukar merah. Panas!

   Eqhwan tersenyum sinis sambil matanya memandang Aminudin yang sedang menahan amarah. “Tak ape lah ustaz, saya tak layak. By the way, malam ni biar saya jaga Wafie, supaya ustaz dapat interview diorang elok-elok.”, kata Eqhwan bersahaja.

   “Jangan tersalah pilih ketua pulak.”, tutur Eqhwan sambil matanya menjeling tajam ke arah Aminudin.

   ‘ARGGHHHHHH!!!’

   Amin menjerit kesakitan, namun hanya hatinya yang mendengari.

   ‘Tak guna hang Eqhwan!’

*   *   *

   Sesi temuramah BADAR berjalan lancar. Namun, hanya satu perkara sahaja yang menimbulkan kemusykilan dalam diri Ustaz Pauzi.

   “Mana Anas?”, soal ustaz spontan. Kesemua ahli BADAR di hadapannya menggelengkan kepala, tanda ‘tidak tahu’.

   ‘Baguslah Anas tak datang! Dah lah suka ikut kepala sendiri! Huh!’, monolog Amin sendirian.

   “Baiklah, berdasarkan temuramah serta pemerhatian yang telah saya serta guru pendidikan Islam yang lain jalankan, kami sebulat suara mahu melantik Ketua BADAR yang baru bagi tahun ini, iaitu  saudara Muhammad Am…”

   Tok! Tok! Tok!

   Pintu bilik guru tiba-tiba diketuk, bicara kata Ustaz Pauzi terus tergantung.

   “Assalamualaikum ustaz.”, satu suara yang tidak asing lagi memberi salam.

   “Wa’alaikumussalam. Hah! Anas, masuk.”, respon ustaz. Rakan-rakan BADAR yang lain turut memandang kehadiran Anas pada ketika itu. ‘Huh! Suka hati ja datang lambat!’, hati Amin berbicara amarah. Pelajar itu amat menitikberatkan soal disiplin masa.

   “Ustaz, saya rasa ustaz perlu pertimbangkan semula siapa yang sepatutnya menjadi Ketua BADAR tahun ni. Saya ada sesuatu yang nak ditunjukkan kepada ustaz.”, telefon pintar Anas dikeluarkan dari poket baju Melayunya.

   Saspen!

*   *   *

   “APA MASALAH KAMU BERTIGA?!”

   Pertama kali. Ya, itu pertama kali Ustaz Pauzi meninggikan suara terhadap anak-anak didiknya. Amin, Anas dan Eqhwan tertunduk. Sesal. Sebentar tadi, Ustaz Pauzi baru sahaja usai menonton rakaman video daripada telepon pintar milik Anas yang memaparkan adegan ganyang-berganyang antara Amin dan Eqhwan.

   “Kenapa saya pun terheret dalam masalah ni ustaz?”, ragu Anas, mahu melepaskan diri. Eqhwan dan Amin terasa seperti ditikam dari belakang oleh insan yang bernama Anas Asyraf.

   “Kalau Amin dan Eqhwan dah buat satu kesalahan besar, maka kamu Anas, kamu dah buat DUA kesalahan besar!”, ustaz menekankan suara pada perkataan ‘dua’. Anas terpinga-pinga.

   ‘Dua kesalahan?’

   “Pertama, kamu tidak menghentikan pergaduhan mereka. Sekiranya salah seorang daripada mereka cedera teruk, siapa yang mahu bertanggungjawab?”, kata ustaz penuh serius.

   “Ok fine, saya mengaku itu memang salah saya. Tapi, … apa pula kesalahan kedua?”, musykil Anas.

   “Siapa benarkan kamu bawa smartphone ke asrama?”, kening Ustaz Pauzi terangkat sebelah.

   Anas terdiam!

   Eqhwan dan Amin tertawa kecil.

   Ustaz Pauzi mengalihkan pandangan menatap wajah dua pesalah di hadapannya. Amin dan Eqhwan. Seorang bakal dilantik menjadi Ketua BADAR, seorang lagi merupakan pelajar yang amat rapat dengannya.

   Terdiam. Ustaz Pauzi cuba menenangkan emosi. Sekiranya tutur bicara yang terpacul daripada bibirnya adalah berbaur amarah, sudah pasti tiada solusi yang disepakati. Nafas berat ditarik panjang…. Hembus! Hah!

   “Eqhwan, terangkan pada saya, apa dah jadi?”, nada suara ustaz tidak ubah seperti seorang ayah yang mahu menasihati anak-anaknya.

   “Amin belasah junior saya.”, kata Eqhwan ringkas.

   “Hidayat tak turun solat berjemaah!”, celah Amin.

   “Kau ada bagi dia peluang untuk jawab ke?”, balas Eqhwan.

    “Masalahnya peraturan sekolah dah wajibkan pelajar-pelajar solat berjemaah kat surau! Aku hanya menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang BADAR! Dan hang Eqhwan, hang terlalu manjakan ‘adik-adik’ hang sampai depa pijak kepala senior!”, tanpa disedari, Amin telah pun bangkit berdiri akibat gagal mengawal emosi.

   “Oh ya? Tanggungjawab kau sebagai seorang BADAR kau cakap?”, Eqhwan turut bangkit berdiri. Mata Eqhwan dan mata Amin bertembung tajam. Ustaz Pauzi bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan, Anas pula sekadar menjadi penonton setia.

   “Kau dengar sini Amin! Kau marah kat orang sebab diorang tak pergi surau! Tapi kau sedar tak? Yang diorang tak pergi surau sebab diorang marah dekat kau!”, teriak Eqhwan penuh emosi.

   PAP!!!

   Suasana disapa kesunyian lampau.

   Amin seakan-akan tertampar mendengar kata-kata Eqhwan.

   Benarkah …?

1 comments:

Anonymous said...

aq p pggil hg kt kelas kot.. NY

Post a Comment