Saturday, 16 November 2013 | By: Zenith

RIWAYAT 5 : AKUKAN ABANG :)


   PHANGGG!!!

   “Arghhhh!!!”

   Cermin mata pelajar tingkatan satu itu tercampak jauh. Tubuhnya rebah mencium bumi. Sakit, terlalu sakit. Dia menangis keperitan.

   “Hahahaa! Bodoh! Lembik!” sang senior tertawa zalim, langsung tidak wujud perkataan belas ihsan dalam kamus hidupnya.

   Perlahan-lahan, pemuda berkaca mata meraba dalam kekaburan. Cermin mata dicapai lemah lalu disarung semula bagi memulih penglihatan. Di kanan dan kirinya, dua rakan turut mengalami nasib yang sama.

   Buli!

   Rakan yang pertama sedang mengerang kesakitan akibat ditendang pada bahagian perut. Senak!  Rakan yang kedua pula jauh lebih parah, kerana dia cuba melawan tiga senior yang jauh lebih kuat kudrat fizikalnya.

   “Ahh!! Muka kau berdarah!”, pemuda berkaca mata menjerit pada rakan karibnya yang sedang terbaring lemah.

   DUSHHH!!!

   “ARGGHHHHH!!!!”, pemuda berkaca mata meronta-ronta kesakitan. Kesakitan yang amat sangat! Satu tendangan syaitan terhinggap padu pada perutnya!

   “Arghhh… Apa… Apa salah kami…? Kenapa buat kami bertiga… Macam ni…?”, pemuda berkaca mata cuba mengatur bicara. Tersembur-sembur darah merah pekat keluar daripada mulutnya. Teramat lemah. Teramat sakit.

   “HAHAHHAHAH!”, tiga senior tertawa kejam! Lantas, salah seorang daripada tiga senior tersebut berdengus.

   “Sebab aku ada senioriti! Dan senioriti itu kuasa! Kuasa untuk menyebarkan kebencian!”

   “HAHAHAHAHAHAHAH!”


*   *   *

   Berlari tercungap-cungap.

   Hari ini pelajar tingkatan satu yang juga merupakan pemain badminton wakil menengah rendah itu terlewat lagi. Manakan tidak, kelas tambahannya ditamatkan agak lambat kali ini.

   “Ah! Dah pukul 5.30 ! Setengah jam lewat ni! Mati aku kena dengan coach!”, cemas Azim sambil matanya melihat jarum jam pada pergelangan tangannya. Berlari dan terus berlari, dengan harapan agar dapat menebus kelewatan yang tercipta.

   DAP!

   “Argghhh????!!!”

   Tubuh Azim yang sedang berlari kencang terhenti secara tiba-tiba! Bahunya dicengkam kuat. Jantung pelajar tingkatan satu tersebut berdebar-debar berdegupan. Perlahan-lahan kepala Azim dikalihkan ke belakang bagi melihat gerangan siapakah yang menyekat pergerakannya.

   “Ah?! Abang … Abang Amin?!”, terketar-ketar Azim bertuturan.

   Amin tersenyum, namun senyuman tersebut memancarkan satu aura yang amat-amat menggerunkan! “Azim, hang dah solat Asar?”, tanya Aminudin, ringkas.

   “Erkk?!”, lidah terkelu, bibir pula terkunci! Azim buntu bicara!

   “Aku tanya hang ni Azim … Hang dah solat?”, genggaman tangan Aminudin semakin kuat mencengkam bahu Azim. Peluh bercucuran, Azim ketakutan kerana senior di hadapannya itu bukan calang-calang senior. Ini Aminudin, senior yang paling digeruni di asrama tersebut!

   ‘Aduh, macam mana ni? Takkan nak tipu kot? Abang Amin ni ada sixth sense yang boleh mengecam sama ada orang itu berkata benar atau pun tidak! Mampus aku! Mampus!’, monolog Azim kerisauan. 

“Arr… Errr… Saya nak pergi suraulah ni Abang Amin.”, terketar-ketar Azim menyusun bicara auta.

   Selamatkah?

   Lantas, dengan serta merta cengkaman tangan Amin dilepaskan. Bahu Azim terasa amat lega. Amin tersenyum, kemudian mengatur langkah meninggalkan junior tersebut. ‘Fuh! Aku selamat!’, hati Azim berbicara gembira.

   Setelah dua tiga tapak Amin melangkah, senior tersebut  mengalih pandangannya semula menghadap Azim yang sedang tersenyum kegembiraan. “Azim, kau nak pergi surau, kan?”, musykil Aminudin. Junior tersebut sekadar mengangguk membenarkan.

   “Jadi, mengapa kau berlari ke arah yang bertentangan dengan surau?”

   “Erkkk???!!!”, tersentap! Azim bagai ditikam dengan persoalan yang diutarakan oleh Aminudin. Peluhnya kembali bercucuran, jantungnya berdegup bertambah kencang!

   Aminudin tersenyum lagi. Senyuman yang penuh kelicikan.

   “Azim, malam ni, pukul satu pagi, datang dorm aku.”

   Gulp!

*   *   *


   “Wah! Senang ja subjek sains ni rupanya!”

   Bicara Hidayat penuh keriangan. Di samping pelajar tingkatan satu tersebut, hadir lagi dua rakan karibnya iaitu Ikhmal dan Mus. Serta seorang senior yang amat akrab dengan mereka bertiga. Senior yang dimaksudkan ialah Eqhwan.

   Malam itu malam Sabtu, para pelajar bebas melakukan apa sahaja aktiviti yang mereka mahu lakukan asalkan tidak melanggar disiplin sekolah. Dan seperti kelazimannya, akan ada beberapa junior yang mahu mengulangkaji pelajaran bersama-sama senior yang lebih berpengalaman.

   Tidak, bukanlah senior itu dijadikan guru tambahan kerana ilmunya melebihi para guru yang sedia ada. Tidak. Namun, pelajar-pelajar junior gemar merujuk para senior atas dasar kesebayaan dan sudah pasti senior tersebut mempunyai metadologi berbeza dalam memberikan kefahaman dengan cara yang lebih santai.

   “Abang Eqhwan, kita rehat dulu ya? Nak baring baring jap.”, pinta Ikhmal. Eqhwan mengangguk membenarkan. ‘Bagus betullah budak-budak ni, baru Form One dah bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Aku ni, dah Form Five masih tidak mampu mengatasi kerajinan mereka.’, bisik hati kecil Eqhwan. Kagum akan junior-junior di hadapannya serta malu terhadap diri sendiri.

   Ketika itu, empat orang hamba Allah tersebut sedang mengulangkaji di tepi surau kerana pengudaraannya lebih cemerlang. Angin malam bertiup lembut, seperti yang sering digunapakai oleh insan-insan berdarah sastera, kata mereka, sepoi-sepoi bahasa. Setelah melakukan revisi selama hampir sejam, mereka berehat bersama-sama.

   “Abang Eqhwan, saya nak tanya satu soalan boleh tak?”, soal Mus yang sedang terbaring di tepi Ikhmal. “Tanyalah Mus, dua tiga soalan pun abang tak kisah.”, sambut Eqhwan sambil tersenyum.
   “Hmm… Kenapa Abang Eqhwan rapat dengan junior ek?”

   Eqhwan tersentak! ‘Aik? Soalan apa ni?’

   Benar, Ketua PRS di sekolah asrama tersebut kelihatan begitu akrab dengan para junior. Bahkan, mungkin lebih rapat jika mahu dibandingkan dengan keakraban rakan-rakan sekohotnya. Namun, mengapa?

   Eqhwan tersenyum. Hidayat, Ikhmal dan Mus masih ternanti-nanti sebuah jawapan.  “Entahlah Mus, senior-senior lain tak suka kat abang kot.”, bicara Eqhwan lemah, namun masih tersenyum. “Yalah, abangkan gila jawatan.”, sambung Eqhwan lagi.

   Hidayat terangguk-angguk mendengar penjelasan senior tersebut. “Hmm… Ketua PRS, bakal BADAR. Banyak juga jawatan Abang Eqhwan, kan?”, kata Hidayat membenarkan. Eqhwan tersenyum tawar. “Dayat, bukannya best pun banyak jawatan. Berat tahu tak amanah ni?”

   “Kalau berat, kenapa Abang Eqhwan pikul?”, musykil pembahas tingkatan satu bernama Ikhmal. Eqhwan menarik nafas dalam, mengumpul kekuatan untuk bercerita. “Sebenarnya, abang ada misi kat sekolah ni.”, bicara Eqhwan bernada serius.

   “Misi?”, soal Mus, Hidayat dan Ikhmal secara serentak.

   Satu senyuman ikhlas terbit pada bibir Eqhwan. “Ya, misi. Abang ada misi nak hapuskan sempadan antara senior dan junior. Kita tak perlukan sempadan untuk meraih rasa hormat daripada insan yang lebih muda, dan kita tidak perlukan sempadan untuk membuahkan kasih sayang daripada insan yang lebih tua. Apa yang kita perlukan ialah batasan, itu sahaja.”, jelas Eqhwan penuh bersemangat.

   “Junior tahu apa batas junior, dan senior tahu apa batas senior. Kita semua hidup di bawah satu bumbung kat asrama ni, dah macam satu keluarga. Dan apa ertinya sebuah kekeluargaan itu sekiranya pangkat dan kuasa dijadikan senjata? Manakala insan yang lemah pula menjadi mangsa?”, sambung Eqhwan lagi.

   Tiga junior dihadapannya ditatap dengan penuh harapan. “Mus, Ikhmal, Hidayat. Abang nak korang tahu, dalam kehidupan di asrama ni, junior amat penting.”

   “Hah? Junior penting? Kenapa?”, soal Hidayat sambil kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Dia terlopong besar.

   Eqhwan menutup lembut keterlopongan juniornya tersebut. “Yalah, bila kamu dah jadi senior, kamu akan rasa sangat sayang terhadap sekolah ni. Dan abang nak tanya kamu bertiga, nanti bila kamu dah keluar sekolah, siapa yang akan mewarisi takhta pemerintahan kamu sebagai seorang senior, kalau bukan junior?”. Mus tersentak, mindanya terbuka luas mendengar bicara seorang senior.

   “Satu lagi, antara senior dengan junior, siapa yang selalu teraniaya?”, soal Eqhwan lagi.

   “Juniorlah.”, jawab Ikhmal mudah.

   “Dan doa orang yang teraniaya itu …..?”, soalan berantaian daripada Eqhwan.

   “Makbul!”, sambung tiga junior di hadapannya keriangan.

   “Betul tu. Sebab itulah abang risau tengok senior-senior yang nak PMR, yang nak SPM dok membuli junior-junior. Lepas tu, bila dekat nak exam, tanpa segan silu mereka menyuruh adik-adik junior mendoakan kecemerlangan mereka. Kalau kamu kena buli teruk-teruk, kamu nak tak doakan kejayaan kepada pembuli tersebut?”

   “Tak nak!”, jawab Hidayat sambil kepalanya bergelengan.

   Eqhwan tersenyum. “Hah, sekarang kamu bertiga dah fahamkan kenapa abang rapat dengan junior?”. Mus mengangguk membenarkan jawapan seniornya. “Mesti best ada senioriti kan, Abang Eqhwan?”, soal Hidayat pula.

   ‘Senioriti?!’

   Sekali lagi, Eqhwan tersentak!

   Secara tiba-tiba peristiwa hitam lima tahun dahulu kembali menerpa ke dalam benak fikirannya.

   “Sebab aku ada senioriti! Dan senioriti itu kuasa! Kuasa untuk menyebarkan kebencian!”

   Nafas dalam dihela Eqhwan penuh emosi. Segala nostalgia hitam yang terlakar lima tahun dahulu cuba dilepaskan. Namun, nyata, ia berbuah kesia-siaan. Perlahan-lahan, satu senyuman terbit pada wajah Ketua PRS tersebut.

   “Sebab aku ada senioriti. Dan senioriti itu kuasa. Kuasa untuk menyebarkan … Cinta.”

   “Hah?”, musykil Ikhmal, Mus dan Hidayat melihat senior mereka yang seorang itu berbicara seorang diri. Gila agaknya?

   “Eh, eh?! Dah melalut dah aku ni.”, bebel Eqhwan seorang diri, seolah-olah ditarik semula berpijak di bumi nyata. Tiga junior tertawa melihat senior tersebut. “Hah, Mus, mana Razwan dengan Danial? Diorang tak nak ulangkaji bersama ke malam ni?”, soal Eqhwan pula.

   “Ohh… Razwan dengan Danial ada pertandingan nasyid malam ni. Sebab tu mereka tak join kita.”, jelas Mus. Eqhwan memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan, “Alah! Terlupa pula! Kalau macam tu, jom kita solat sunat hajat sama-sama. Kita doakan kumpulan nasyid sekolah ni menjuarai pertandingan. Dayat, jadi imam ya?”, pinta Eqhwan.

   “Baik bos!”, sahut Hidayat keceriaan. Sambil berjalan ke bilik wudhuk, satu soalan lagi diutarakan kepada Eqhwan, kali ini daripada Ikhmal pula.

   “Abang Eqhwan, abang rasa kalau abang dah keluar dari sekolah ni nanti, ada tak lagi senior yang macam abang Eqhwan?”, soal Ikhmal. Nadanya sedikit kerisauan.

   Hati Eqhwan tergeletek mendengar persoalan tersebut. “Hahahah. Mana mungkin akan ada senior yang macam abang lagi nanti.”, bicara Eqhwan sedikit berlagak. Ikhmal tertunduk seperti memikirkan sesuatu. Memikirkan soal kehilangan. “Tapi … Akan ada senior-senior yang jauh lebih hebat daripada abang.”, sambung Eqhwan.

   “Hah? Siapa?”, kemusykilan Ikhmal memuncak tinggi.

   “Ikhmal dan sahabat-sahabatlah! Korangkan MUMTAZ!”, jelas Eqhwan sambil menggosok-gosok kepala juniornya tersebut. Dalam gurauan, dia mendoakan.

   Terbit satu senyuman harapan pada wajah Ikhmal. Harapan untuk meneruskan perjuangan!

   “InsyaAllah!”

*   *   *




   Kumpulan nasyid Suhulus Salam mengalunkan lagu ‘Ya Hanana’ dengan penuh perasaan serta keikhlasan. Alunan irama tersebut diserikan lagi keindahannya dengan kelunakan suara Anas Asyraf.

   “Johan bagi pertandingan nasyid Malam Cinta Rasul dimenangi oleh …..”, pengacara majlis bagi pertandingan nasyid peringkat zon tersebut mula menimbulkan perasaan cemas serta musykilah dalam diri para peserta serta audiens. Manakan tidak, kesemua kumpulan nasyid pada malam tersebut penuh berbakat dan berseni.

   Mata Anas terpejam rapat sambil hatinya tidak berhenti-henti berdoa. Nasyid sudah menjadi ibarat nyawa kepada pemuda tersebut.

   Ustaz Pauzi yang merupakan guru penasihat kumpulan nasyid tersebut terus beristighfar dan bertawakal kepada Ilahi.

   Razwan, Danial serta ahli anggota nasyid di bawah kepimpinan Anas tersebut semuanya berdebar-debar menanti sebuah jawapan. Doa pengharapan dipohonkan sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa.

   “Dimenangi oleh … Kumpulan Suhulus Salam!”

   Satu sorakan keriangan terdengar jelas.

   “Takbir!”, Anas bertakbir penuh semangat!

   “Allahuakbar!”, sambut semua.

   Lantas, pemuda tersebut terus melakukan sujud syukur. Anak-anak buahnya pula setia mengikuti.

   “Alhamdulillah, hari ini Allah telah mengurniakan kami kemenangan.”, Ustaz Pauzi berbicara sendiri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman kesyukuran.

   Terlalu gembira.

*   *   *

   DUSHHH !

   PANGGG !

   “ARGHHHHH!!!!”

   Azim berteriak kesakitan. Tangannya dicengkam kuat oleh Aminudin. Sakit. Terlampau sakit!

   “Aku dah bagi hang peluang, tapi kenapa hang sia-siakan?!”, tubuh Azim ditolak kasar menghentak dinding. Darah pekat tersembur keluar daripada mulut junior tersebut. “Maafkan saya … Abang Amin…”, lemah tutur bicara Azim memohon keampunan.

   Amin berdengus!

   “Arghhh! Bukan setakat hang mengkhianati peluang yang aku bagi, malah hang cuba nak tipu aku! Hang ingat aku ni siapa?!”, pekik Aminudin kemarahan. Nafasnya turun naik laju.

   Perlahan-lahan Aminudin berjalan mendekati Azim yang sedang terbaring lemah. “Azim, hang jangan nak malukan aku. Aku pun main badminton juga, tapi aku tahu mana yang sepatutnya diberikan prioriti, dan mana yang terkemudian.”, Mata Aminudin memandang tangan Azim yang terkulai lemah. Pada tangan kanan Amin, senior tersebut memegang kuat sebatang raket. Raket kesayangan Azim.

   “Maafkan aku Azim … Malam ni, hang … Nahas!”, tangan Aminudin yang berotot dan bertenaga kuat melibas raket ke arah mangsanya.

   “ARRGGHHHHHHHH !!!!!!!!!”



0 comments:

Post a Comment