“Suara kau sedap la.”, puji pemuda berkaca
mata, ikhlas. Rakannya pula sekadar tersenyum.
“Kau pula handal bermain badminton.”, pemuda
berkaca mata memuji sahabatnya yang seorang lagi. Tiga pelajar tingkatan satu
itu memang akrab. Sangat akrab.
“Lain lah macam aku … Aku tak ade ape.”,
merendah diri pemuda berkaca mata itu berkata-kata. Keyakinan dan keberaniannya
amat tipis dan nipis. Bagi diri pemuda berkaca mata tersebut, istilah ‘hebat’
itu langsung tidak layak buat insan sepertinya.
Dua rakannya duduk bersebelahan merapati
pemuda tersebut. “Hang ni, selalu merendah diri.”
“Dalam hidup ni, kita kena bersemangat!”
“Dan ceria!”, sambung rakannya.
“Kami berdua yakin, hang pun ada potensi
diri untuk berjaya.”, suntikan motivasi yang hadir daripada hati nurani.
“Korang rase macam tu?”, pemuda berkaca mata
tersenyum, seolah-olah harapan itu masih ada.
Dua sahabat karibnya tersenyum ikhlas.
“Ya! Kami yakin dan percaya! InsyaAllah
boleh!”
* * *
Di luar bilik guru
kelihatan beberapa pelajar lelaki tingkatan lima sedang duduk bersembang sesama
mereka sambil menantikan sesuatu. Eqhwan yang memiliki sifat kuriositi yang
tinggi sengaja mendekati kumpulan pelajar tersebut.
Iskandar, Fauzan,
Syahrul, Afif, Muaz, Aiman, Alif, Aliff, dan Niyaz sedang berbual-bual ceria.
Oh ya, ada seorang lagi … Amin.
“Assalamualaikum,
ape hal ni? Ada mesyuarat agung PIBG ke?”, tegur Eqhwan berseloroh. Rakan-rakan
sekohotnya mengalihkan pandangan ke arah pemuda berkaca mata tersebut.
“Wa’alaikumussalam.
Hahaha… Banyaklah kau punya PIBG. Kitorang ada interview BADAR lah.”, respon
Iskandar yang turut merupakan salah seorang pelajar yang berhijrah ke Kedah
dari bumi Selangor, atau lebih gah dengan gelaran Selangor Rangerz.
“Ohh… BADAR.”,
balas Eqhwan, sambil ekor matanya memerhatikan Aminudin yang langsung tidak
terkesan akan kehadirannya. Peristiwa pergaduhan Amin dan Eqhwan tempoh hari
dijadikan rahsia. Sama-sama cari pasal, sama-sama sakit. Sekiranya pihak atasan
mengetahui perihal ini, sudah pasti tindakan disiplin akan dikenakan terhadap
mereka berdua.
“Jom lah, Eqhwan,
join BADAR.”, pelawa Niyaz bersahaja.
Amin berdengus
mendengar kata-kata Niyaz. “Heh! Mustahil, dia kan Ketua PRS, mana boleh pegang
dua jawatan dalam satu masa. Itu gila kuasa namanya!”
Kata-kata Amin
mendapat perhatian daripada rakan-rakan di sekelilingnya. Tangan kanan Eqhwan
digenggam penuh erat. Hatinya tercalar.
“Huh! Aku tak nak
pun jadi BADAR. Aku tahu, ilmu aku tak setinggi ilmu hang Amin. Tapi aku ada
nasihat untuk hampa semua.”, respon Eqhwan, kini pandangan rakan-rakan tadi
beralih pula ke arah Eqhwan.
“Nanti, kalau dah
jadi BADAR, tolong nasihat orang pakai kepala otak. Bukannya pakai kepala
lutut!”, di saat itu mata Eqhwan yang tajam menikam tepat ke arah bebola mata
Aminudin.
Kesabaran Amin
terhakis, lantas pemuda bertubuh sasa itu segera berdiri membuka langkah
serangan ke arah Eqhwan.
“Wow wow, bawa
bersabar Amin!”, tubuh Amin ditahan oleh Muaz dan Aiman.
“Hang pasaipa?!
Hang mai sini tiba-tiba nak buat aku marah! Hang ingat hang bagus sangat?!”,
amarah Amin bermaharajalela.
Eqhwan tersenyum,
emosi Aminudin berjaya digoncang. “Hang terasa?”, kata Eqhwan. Sebagai seorang
pembahas sekolah, Eqhwan amat mahir berkata-kata dan hebat memperkotak-katikkan
emosi pihak lawan. Ya, mungkin Eqhwan akan tewas dalam perlawanan fizikal,
namun dalam pertarungan mental, dialah juara.
“ARGGHHHHH!!!”,
kemarahan Amin memuncak. Mahu sahaja dipijaknya tubuh pemuda berkaca mata yang
bermulut pedas itu.
“Eh! Eh! Ustaz
Pauzi datang!”, kata Fauzan setelah melihat kereta MyVi silver diparkir di
ruangan tempat meletak kereta. Senyuman Eqhwan bertambah sinis, manakan tidak,
pemuda tersebut merupakan pelajar yang amat rapat dengan Ustaz Pauzi.
Eqhwan mengatur
langkah mendapatkan ustaz kesayangannya, Aminudin yang masih dirasuk amuk
ditinggalkan begitu sahaja.
“Ustaz! Ustaz!
Assalamualaikum ustaz!”, kedatangan Ustaz Pauzi disambut ceria oleh Eqhwan.
Tangannya terlambai-lambai.
“Wa’alaikumussalam,
hah.. Eqhwan.”, balas Ustaz Pauzi sambil menutup pintu keretanya. Anak lelaki
ustaz yang bernama Wafi turut hadir bersama ke sekolah pada malam itu.
Kebetulan, malam itu Ustaz Pauzi yang bertugas sebagai warden asrama. Eqhwan
terus bersalam sambil mencium tangan Ustaz Pauzi, beg laptop pada tangan ustaz
segera diambilnya.
“Meh ustaz, biar
saya tolong bawakan.”, kata Eqhwan sambil tersenyum riang. Membodek, itu salah
satu kemahiran yang dimiliki Eqhwan. Dari jauh mata Aminudin terus memandang gerak-geri
pemuda berkaca mata tersebut. Ustaz Pauzi dan Eqhwan semakin menghampiri
kumpulan BADAR tersebut.
‘Cis!
Mengada-ngada!’, Amin memaki dalam hati sendiri.
“Ustaz ada apa
malam ni?”, ujar Eqhwan sedangkan jawapannya sudahpun lama diketahui.
“Oh… Saya nak interview ahli-ahli BADAR. Nak
cari ketua. Hah, kamu nak jadi BADAR, Eqhwan?”, soal ustaz bersahaja. Telinga
Amin bertukar merah. Panas!
Eqhwan tersenyum
sinis sambil matanya memandang Aminudin yang sedang menahan amarah. “Tak ape
lah ustaz, saya tak layak. By the way, malam ni biar saya jaga Wafie, supaya
ustaz dapat interview diorang elok-elok.”, kata Eqhwan bersahaja.
“Jangan tersalah
pilih ketua pulak.”, tutur Eqhwan sambil matanya menjeling tajam ke arah
Aminudin.
‘ARGGHHHHHH!!!’
Amin menjerit
kesakitan, namun hanya hatinya yang mendengari.
‘Tak guna hang
Eqhwan!’
* * *
Sesi temuramah BADAR berjalan lancar. Namun, hanya satu perkara sahaja
yang menimbulkan kemusykilan dalam diri Ustaz Pauzi.
“Mana Anas?”, soal ustaz spontan. Kesemua ahli BADAR di hadapannya
menggelengkan kepala, tanda ‘tidak tahu’.
‘Baguslah Anas tak datang! Dah lah suka ikut kepala sendiri! Huh!’,
monolog Amin sendirian.
“Baiklah, berdasarkan temuramah serta pemerhatian yang telah saya serta
guru pendidikan Islam yang lain jalankan, kami sebulat suara mahu melantik
Ketua BADAR yang baru bagi tahun ini, iaitu
saudara Muhammad Am…”
Tok! Tok! Tok!
Pintu bilik guru tiba-tiba diketuk, bicara kata Ustaz Pauzi terus
tergantung.
“Assalamualaikum ustaz.”, satu suara yang tidak asing lagi memberi
salam.
“Wa’alaikumussalam. Hah! Anas, masuk.”, respon ustaz. Rakan-rakan BADAR
yang lain turut memandang kehadiran Anas pada ketika itu. ‘Huh! Suka hati ja
datang lambat!’, hati Amin berbicara amarah. Pelajar itu amat menitikberatkan
soal disiplin masa.
“Ustaz, saya rasa ustaz perlu pertimbangkan semula siapa yang sepatutnya
menjadi Ketua BADAR tahun ni. Saya ada sesuatu yang nak ditunjukkan kepada
ustaz.”, telefon pintar Anas dikeluarkan dari poket baju Melayunya.
Saspen!
* * *
“APA MASALAH KAMU
BERTIGA?!”
Pertama kali. Ya,
itu pertama kali Ustaz Pauzi meninggikan suara terhadap anak-anak didiknya.
Amin, Anas dan Eqhwan tertunduk. Sesal. Sebentar tadi, Ustaz Pauzi baru sahaja usai
menonton rakaman video daripada telepon pintar milik Anas yang memaparkan
adegan ganyang-berganyang antara Amin dan Eqhwan.
“Kenapa saya pun
terheret dalam masalah ni ustaz?”, ragu Anas, mahu melepaskan diri. Eqhwan dan
Amin terasa seperti ditikam dari belakang oleh insan yang bernama Anas Asyraf.
“Kalau Amin dan
Eqhwan dah buat satu kesalahan besar, maka kamu Anas, kamu dah buat DUA
kesalahan besar!”, ustaz menekankan suara pada perkataan ‘dua’. Anas
terpinga-pinga.
‘Dua kesalahan?’
“Pertama, kamu
tidak menghentikan pergaduhan mereka. Sekiranya salah seorang daripada mereka
cedera teruk, siapa yang mahu bertanggungjawab?”, kata ustaz penuh serius.
“Ok fine, saya
mengaku itu memang salah saya. Tapi, … apa pula kesalahan kedua?”, musykil Anas.
“Siapa benarkan
kamu bawa smartphone ke asrama?”, kening Ustaz Pauzi terangkat sebelah.
Anas terdiam!
Eqhwan dan Amin
tertawa kecil.
Ustaz Pauzi
mengalihkan pandangan menatap wajah dua pesalah di hadapannya. Amin dan Eqhwan.
Seorang bakal dilantik menjadi Ketua BADAR, seorang lagi merupakan pelajar yang
amat rapat dengannya.
Terdiam. Ustaz
Pauzi cuba menenangkan emosi. Sekiranya tutur bicara yang terpacul daripada
bibirnya adalah berbaur amarah, sudah pasti tiada solusi yang disepakati. Nafas
berat ditarik panjang…. Hembus! Hah!
“Eqhwan, terangkan
pada saya, apa dah jadi?”, nada suara ustaz tidak ubah seperti seorang ayah
yang mahu menasihati anak-anaknya.
“Amin belasah
junior saya.”, kata Eqhwan ringkas.
“Hidayat tak turun
solat berjemaah!”, celah Amin.
“Kau ada bagi dia
peluang untuk jawab ke?”, balas Eqhwan.
“Masalahnya
peraturan sekolah dah wajibkan pelajar-pelajar solat berjemaah kat surau! Aku
hanya menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang BADAR! Dan hang Eqhwan,
hang terlalu manjakan ‘adik-adik’ hang sampai depa pijak kepala senior!”, tanpa
disedari, Amin telah pun bangkit berdiri akibat gagal mengawal emosi.
“Oh ya?
Tanggungjawab kau sebagai seorang BADAR kau cakap?”, Eqhwan turut bangkit
berdiri. Mata Eqhwan dan mata Amin bertembung tajam. Ustaz Pauzi bersiap siaga
untuk sebarang kemungkinan, Anas pula sekadar menjadi penonton setia.
“Kau dengar sini
Amin! Kau marah kat orang sebab diorang tak pergi surau! Tapi kau sedar tak?
Yang diorang tak pergi surau sebab diorang marah dekat kau!”, teriak Eqhwan
penuh emosi.
PAP!!!
Suasana disapa
kesunyian lampau.
Amin seakan-akan
tertampar mendengar kata-kata Eqhwan.
Benarkah …?
1 comments:
aq p pggil hg kt kelas kot.. NY
Post a Comment