Hari itu perlantikan BADAR.
Namun, kelangsungan
majlis tidak semeriah yang disangka. Satu persatu calon percubaan BADAR
menerima watikah amanah di pentas penuh bersejarah. Ya, seluruh warga sekolah
melontarkan buah bicara tersendiri.
“Eh, hang nak tau,
semalam aku dengar budak-budak BADAR bergaduh! BADAR apa macam tu?”
“Eleh, pakai
songkok bajet alim. Huh! Perangai zalim tahap!”
“Kalau diri sendiri
pun tak terdakwah, macam mana nak berdakwah kat orang lain?”
Komentar-komentar
pedas terus ditembak rakus terhadap organisasi BADAR. Apatah lagi apabila tiba
giliran Anas, Eqhwan dan Aminudin naik ke pentas menerima watikah.
Masing-masing berwajah lebam tercedera, merancakkan lagi perbualan insan
seluruh manusia.
Pada ketika itu
juga, segala teka-teki langsung terjawab. Persoalan tentang siapa yang bakal
mewarisi takhta Ketua BADAR sudahpun terungkai.
Ya, dia. Insan itu
ialah Muhammad Aminudin Che Omar.
Sungguh, ini baru
titik permulaan, namun, nama BADAR sudah pun busuk tercemar …
* * *
“Astaghfirullah …”
Ustazah Fadhilah
beristighfar kepada Ilahi tatkala memikirkan perihal tiga pelajarnya.
Insan-insan yang diharapkan untuk membela agama, tidak bisa bersatu bersama.
“Ini semua dugaan
Allah, dan saya pasti, kita mampu menggalasnya.”, tiba-tiba Ustaz Yus
berkata-kata setelah sekian lama membisu. Di dalam kamar gerakan Pendidikan
Islam itu, tiga muallim sedang serius bermusyawarah.
Ustazah Fadhilah
menarik nafas dalam, lantas dihembusnya penuh perasaan. Hah!
“Betul tu. Lagi
pun, kita perlukan mereka bertiga, dan tentera-tentera BADAR yang lain.”,
rasional ustazah. Ustaz Pauzi dan Ustaz Yus mengangguk membenarkan.
“Benar. Saya lihat,
tentera-tentera BADAR tahun ini punya potensi besar. Dan tiga pemuda tersebut
tidak terkecuali.”, tambah Ustaz Pauzi. “Masing-masing dengan pengaruh yang
tersendiri.”
Satu garis senyuman
terukir indah pada wajah Ustaz Yus. “Ya, Aminudin amat berpengaruh dalam
kalangan pelajar senior. Malah, kumpulan pelajar yang nakal juga mampu
ditundukkannya.”, Ustaz Yus bernada kagum.
Ustazah Fadhilah
mengangguk mengiyakan. “Anas pula, amat jelas pengaruhnya terhadap pelajar
perempuan. Yalah, budak tu hensem, suara pun sedap. Siapa yang tak nak?”,
bicara ustazah dihiasi dengan senyuman nan indah.
“Eqhwan … Saya dah
lama perhatikan dia. Sangat rapat dengan junior. Pengaruh Ketua PRS tersebut
tidak boleh kita sia-siakan.”, tambah Ustaz Pauzi pula. Dua rakan
seperjuangannya mengangguk serentak.
“Saya yakin dan percaya,
sekiranya kita dapat menyatukan Amin, Anas dan Eqhwan, maka organisasi BADAR
bakal berubah ampuh dan megah. InsyaAllah!”, doa Ustazah Fadhilah penuh
pengharapan. Ustaz Pauzi tersenyum tanda bersetuju.
“Saya rasa, kita
dah tak boleh membuang masa, kita perlu lakukan sesuatu!”, kata Ustaz Yus.
Penuh bersemangat!
* * *
Termenung.
Anas Asyraf duduk
seorang diri di atas Astaka yang gah terbina. Padang sukan di hadapannya meriah
dengan suara-suara pemain ragbi sekolah yang sedang giat berlatih. Namun,
kemeriahan yang tercipta langsung tidak bisa mengisi kekosongan jiwa pemuda
tersebut. Jiwanya kosong, menanti cinta seorang gadis bernama … Elisa.
“Assalamualaikum.”
Tiba-tiba, satu
suara lembut menyapa. Langsung menarik Anas kembali berpijak di bumi nyata.
“Wa’alaikumussalam.
Eh? Umi?”, sahut Anas sedikit keterkejutan. Wanita yang bergelar Ustazah
Fadhilah itu lebih mahsyur dengan panggilan ‘Umi’. Ustazah terus tersenyum.
“Termenung jauh
sahaja Anas. Anak Umi ini fikirkan apa? Marka?”, usik Ustazah Fadhilah. ‘Marka’
membawa definisi teman wanita dalam kamus Utara.
Anas tersentak!
‘Subhanallah! Macam
mana Umi boleh tahu?’, monolog hati kecil Anas. “Eh! Mana ada Umi, saya tengah
fikirkan pasal pertandingan nasyid bulan hadapanlah. Tak ada marka pun!”, kata
Anas penuh penafian. Malu mahu meluahkan perasaan cinta? Atau takut digelar
mangsa hati berzina dusta?
“Fikirkan nasyid
sampai berpeluh-peluh?”, ustazah terus mengusik mesra. Wanita itu duduk
berlabuh di samping pemuda tersebut. “Errkk!!”, Anas buntu bicara.
“Come on lah Anas,
Umi dah makan Sodium Chloride lebih lama daripada kamu. Umi tahu apa yang
sedang kamu fikirkan. Dan Umi faham.”, bicara ustazah penuh kelembutan. Cuba
memujuk hati pemuda bernama Anas itu.
Tertunduk. Mata
Anas terpejam rapat. Tersepit antara cinta dan larangan agama. Nafas pemuda
tersebut dihela sedalam mungkin, lantas dihembus penuh bersungguh. Hah!
“Umi … Haramkah
bercinta?”
Akhirnya, hati Anas
tetap terbuka. Apa guna berahsia sedangkan berkongsi dengan insan yang berpengalaman itu jauh lebih bermakna.
Ustazah Fadhilah tersenyum manis.
“Anas, Umi nak
tanya. Bernasyid itu berdosakah?”
Anas tersentak
mendengar persoalan yang diutarakan oleh ustazah. “Kenapa pula berdosa? Kita
kan berdakwah melalui medium hiburan. Membawa manusia mendekati Ar-Rahman.
Sudah tentulah bernasyid itu tidak berdosa, malah boleh membikin pahala ,Umi.”,
jawab Anas. Jiwa nasyidnya berkobar-kobar.
Ustazah Fadhilah
tersenyum mendengar jawapan pemuda tersebut. “Baik. Kalau kita asyik berlatih
bernasyid sehingga melewat-lewatkan waktu solat, sampai satu tahap boleh
menjadikan kita lalai daripada mengingati Allah, bagaimana?”, soalan retorik
berantaian.
Sedikit terdongak
kepala Anas mencari jawapan. “Kalau dah sampai boleh lupa pada Allah, sudah
tentulah berdosa.”, rasional Anas.
Tersenyum dan terus
tersenyum. “Alhamdulillah Anas, kamu dah pun menjawab persoalan kamu tentang
perihal cinta.”, kata ustazah penuh keibuan.
“HAH?”, Anas
kelihatan blur terpinga-pinga.
“Anas … Siapa yang
ciptakan cinta di dunia ini?”
“Sudah tentulah
Allah, Umi.”
“Maka, mengapa Allah
mencipta cinta buat makhluk yang dicipta?”
“Arr … Sebagai
ujian penentu keimanan atau keingkaran?”
“Kalau bercinta itu
membawa kelalaian, bagaimana?”
“Berdosa.”
“Kalau bercinta itu
membawa insan mendekati tuhan, bagaimana?”
Anas tersenyum
mendengar kata-kata hikmah dari ustazah tercinta. Itu bukan soalan sebenarnya,
itu jawapan! “Hah! Kalau begitu, bolehlah saya bercinta? Kan Umi kan?”, Anas
kembali bersemangat.
“Anas, cinta itu
tidak haram. Namun, bagaimana kita bercinta itulah yang menentukan sama ada
cinta itu cinta yang haram, atau cinta yang tulus suci.”, tambah ustazah lagi.
“Kalau benar kamu cintakan seseorang, maka berdoalah kepada Ilahi agar jodoh
itu adalah yang terbaik buat kamu di dunia dan di akhirat. Dan apa yang lebih
penting adalah kamu melakukan persediaan bersungguh-sungguh untuk menghadapi
alam percintaan yang hakiki.”
Entah kali ke
berapa kepala pemuda bernama Anas Asyraf itu mengangguk membenarkan. Pencerahan
yang diterima benar-benar mengeluarkan dia dari alam kebuntuan. Alhamdulillah.
Telefon pintar yang
tersimpan kemas di dalam tas tangan ustazah dikeluarkan. “Anas, kamu pernah
dengar tak lagu nasyid ‘Kerana Bercinta’?”, musykil ustazah. Anas menggeleng
menidakkan. “Nah, kamu dengar lagu ni.”
Anas tersenyum
manis sepanjang lagu tersebut dimainkan. Sungguh, lagu itu memberi peringatan
jelas kepada dirinya. InsyaAllah.
“Jadi, kena
bercinta kerana siapa?”, soal Ustazah Fadhilah ceria.
“Kita bercinta
kerana Allah!”, jawab Anas penuh bersemangat!
Mereka tersenyum.
Ikhlas.
* * *
KROOOKKKKK!!!!!
Satu bunyi yang
kurang enak didengari terhasil daripada bahagian perut pemuda bernama Eqhwan.
Lapar ! Perutnya merayu-rayu meminta sesuap makanan.
“Adehh.. Lapar gila! Harap-harap mak cik DM masak ayam tengahari ni.”,
pemuda tersebut melangkah laju menuju ke Dewan Makan. Pelajar-pelajar di
hadapannya habis dipecut bagi memendekkan lagi giliran aturan.
PON ! PON !
Tiba-tiba, bunyi hon kereta terlontar ke udara. Langsung menghentikan
langkahan Ketua PRS tersebut. Kepala Eqhwan tertoleh ke arah kereta di
belakangnya.
‘Hah? Ustaz? Nak apa dengan aku?’, Eqhwan bermonolog tatkala
pandangannya melihat insan bernama Ustaz Pauzi itu melambai-lambai ke arah
dirinya dari dalam kereta. Kelaparan ditolak tepi buat sementara, posisi ustaz
dituju pantas.
“Ada apa ustaz?”, soal Eqhwan bersahaja. Sejak dua menjak ini, hubungannya
dengan ustaz tersebut semakin tidak rapat dek kerana pelbagai komplikasi yang
melanda.
“Kot ye pun, bagi la salam dulu, Eqhwan.”, tegur Ustaz Pauzi sambil
menghulurkan tangan kanannya bagi menyalami pemuda tersebut. “Hmm..
Assalamualaikum.”, Eqhwan bermuka toya.
“Ha … Wa’alaikumussalam. Jom Eqhwan, ikut saya.”, kata Ustaz Pauzi
sambil tangannya menunjuk ke arah tempat duduk di sebelah. Ustaz tersebut
tersenyum ceria. “Nak pergi mana?”, soal Eqhwan pula.
“Marilah, saya bawa kamu makan something special.”, jawab ustaz.
‘Pffftttt! Nak pujuk aku lah tu!’, monolog hati pemuda tersebut.
“Makan apa? RFC? Ustaz ajak Anas je la.”, Eqhwan menjual mahal.
“Tak … Lagi special daripada tu.”
“Apa dia?”
“Nasi Arab.”
“Ceh… Apa yang specialnya?”, Eqhwan terus berprovokasi.
Ustaz Pauzi masih tersenyum, sabar melayan kerenah pelajarnya yang
banyak songeh!
“Saya masakkan untuk kamu.”
“Ustaz masakkan?!”, Eqhwan tersenyum gembira, antara percaya dan tidak.
‘Hmm… Bersungguh-sungguh ustaz ni.’, hati pemuda tersebut mula memancarkan
cahaya keriangan. “Jom!”
Langsung, dua hamba Allah tersebut bertolak keluar daripada perkarangan
sekolah menuju ke rumah Ustaz Pauzi. Kereta MyVi silver bernombor plat TF42
dipandu laju. Sepanjang perjalanan, Eqhwan hanya terdiam membisu, bukan seperti
dirinya yang biasa.
Terasa asing.
“Eqhwan … Kamu punya pertandingan pidato dah dekatkan?”, tiba-tiba ustaz
membuka soalan, muqaddimmah perbualan. Eqhwan mengangguk membenarkan. “Haah,
bulan depan.”, jawab pemuda tersebut, ringkas.
“Adik-adik kamu tak join?”, tanya ustaz lagi. Eqhwan tercengang
seketika. “Hah? Adik-adik saya? Siapa?”, soalan bertemu soalan. Ustaz Pauzi
tersenyum simpul.
“Junior-junior kamulah.”, jelas ustaz. “Ooohhh… Hah. Diorang tak join.
Mus dengan Ikhmal join debat. Razwan dengan Daniel join nasyid dengan Anas
kesayangan ustaz tu. Azim sibuk berlatih badminton. Dayat dengan adik-adik
Lamda yang lain semuanya busy dengan aktiviti rumah sukan.”, satu persatu Eqhwan
menjelaskan.
Ustaz Pauzi tertawa kecil. “Hahah… Banyak betul adik kamu ya?”
“Orang hensem ustaz.”, seloroh Eqhwan. Hatinya sedikit terhibur.
“Saya nak tanya satu soalan boleh?”, pohon ustaz merendah diri.
“Tanyalah ustaz. Kalau boleh jawab, saya jawab.”, balas pemuda berkaca mata
tersebut.
“Saya tengok, dalam kalangan pelajar tingkatan lima, kamu yang paling…
paling…”, Ustaz Pauzi mencari ayat tapisan. “.. Paling ‘ceria’.”, akhirnya
terkeluar juga. Kening Eqhwan terangkat sebelah.
“Paling ceria? Maksud ustaz?
Tak matang?”, pemuda tersebut lebih cekap mengesan. Benar, walaupun menyandang
jawatan yang tinggi di sekolah tersebut, perangai Eqhwan kadang-kala tidak ubah
seperti keanak-anakan. Tidak serius, suka bermain, tegar memberontak dan pelbagai
ragam yang langsung tidak menampakkan simbol kematangan.
Satu garis senyuman terbit pada wajah muallim tersebut. “Bukan tak
matang, cuma, KURANG matang.”, perkataan ‘KURANG’ ditekankan nadanya.
‘Dah mula dah sesi tazkirah!’, syaitan mula berbisik pada hati pemuda
tersebut.
“Tapi saya kagum dengan kamu, sebab kamu boleh masuk dalam dunia junior.
Sedangkan senior lain terus menjadikan senioriti sebagai benteng
penghormatan.”, sambung Ustaz Pauzi lagi. “Kenapa ya Eqhwan?”
Eqhwan berdengus kecil. Setiap kali persoalan berkisar senioriti
terbangkit, pemuda tersebut akan terkenang nostalgia hitam lima tahun lalu.
Tatkala dia masih seorang junior di tingkatan satu.
“Ustaz … Ustaz ingat tak, Pailang?”, Eqhwan bernada serius.
“Pailang?!”, jelas terpapar bahawa ustaz tersebut tersentak tatkala nama
‘Pailang’ itu disebut.
Ya, peristiwa lima tahun lalu di sekolah berasrama tersebut. Wujud
seorang senior bernama Pailang, perangainya persis iblis! Menjadi mimpi ngeri
bagi pelajar-pelajar junior yang bermastautin di asrama itu. Misi Pailang cuma
satu; mahu menjadikan senioriti itu sebagai senjata pemusnah. Lantas, kekuasaan
yang dimilikinya sebagai seorang senior membolehkan dia bermaharajalela.
Pada lima tahun dahulu, semua junior tingkatan satu pernah menjamah
tendangan manusia bertopengkan syaitan, iaitu Pailang. Eqhwan juga tidak
terkecuali daripada menjadi mangsa. Lantas, pemuda tersebut tegar melaporkan
segala isu kejahatan senior tersebut kepada pihak atasan. Ya, dia berjaya
menyebabkan Pailang dibuang sekolah. Persis hero! Namun, kejayaannya menuntut
kesakitan. Sebelum Pailang mengangkat kaki keluar daripada sekolah tersebut,
Eqhwan dan rakan-rakan seperjuangannya dibelasah selumat mungkin!
Terseksa. Pedih dan menderita.
Mata Eqhwan terpejam rapat. Nafasnya ditarik sedalam-dalam, lantas
dihembus kuat dengan harapan mahu melupakan segala nostalgia hitam yang telah
tercipta. Pun begitu, dia gagal. Memori rakus itu telah tersemat kemas dalam
sanubarinya.
“Saya dah janji dengan diri saya ustaz. Saya akan jaga junior saya
dengan sebaik mungkin.”, keazaman Eqhwan membara-bara. “Tak kisahlah orang nak
cakap saya tak matang ke, gila jawatan ke, apa ke, saya tak kisah. Itu semua
tak penting. Asalkan saya tahu, apa yang saya buat ni betul, maka akan saya
teruskan.”
“Alhamdulillah! Dah sampai.”, kereta MyVi tersebut berhenti meluncur
tatkala tiba di destinasi. Rumah Ustaz Pauzi. “Jom, masuk. Kita lupakan
sengketa lama, kita buka buku baru.”, kata ustaz sambil tersenyum.
* * *
“Hoh! Mana Pojan ni!”
Aminudin berasa amarah. Jam pada pergelangan tangannya ditatap berulang
kali. Rakan sepermainan badmintonnya, iaitu Fauzan Wajdi masih tidak muncul
tiba. Sudah lewat sepuluh minit masa latihan.
“Assalamualaikum.”
Satu salam menyapa. Aminudin segera tertoleh ke arah tuan empunya salam.
“Wa’alaikumussalam. Ah? Ustaz Yus? Ada apa hari ni?”, soal Aminudin. Pelik,
selama ini ustaz tersebut hanya berpakaian Baju Melayu tatkala berada di
kawasan sekolah pada waktu sebegini. Namun, hari ini kondisinya berbeda. Ustaz
yang dikagumi tersebut berpakaian sukan lengkap.
Ustaz Yus tersenyum.
“Hari ni, Fauzan off. Saya akan lawan badminton dengan kamu.”, kata
Ustaz Yus dalam intonasi mencabar. Tahap konfidensi yang cukup tinggi.
Aminudin terkesima. Antara percaya dan tidak. Langsung, dia tersenyum.
“Heh, baik! Jangan menyesal ya ustaz.”, cabaran bersahutan. Tulang leher
Ketua BADAR tersebut ‘di-krakkk-krukk-kan’.
BRING IT ON!
* * *
“Dah siap Nasi Arab!”
Kata Ustaz Pauzi sambil membawa dulang makanan dan dua pinggan bersama.
Lantas dihidangkan terus kepada tetamu jemputannya.
Eqhwan menghidu aroma Nasi Arab yang sangat harum lagi menyelerakan.
“Wahh!! Sedapnya bau Nasi Arab ni. Jom makan!”, teruja pemuda tersebut mahu menjamah
masakan ustaz itu. Usai doa makan dibaca, Eqhwan terus menyuap sesuap nasi ke
dalam mulutnya. Kelaparan yang tidak dapat tertahan. Ustaz Pauzi hanya
tersenyum melihat gelagat pelajarnya.
“Erkkk???!!! PFFFTTTTT!!!”
Tersembur-sembur Nasi Arab terkeluar daripada mulut pemuda tersebut.
“Ustaz. Nasi ni tak masaklah! Mentah …”, tegur Eqhwan dengan lidah yang sedikit
terjelir. Ustaz Pauzi tertawa kecil.
“Hahaha … Alah, mentah pun masih boleh
dimakan lagi.”, kata ustaz penuh canda.
“Hmmm! Meh sini ustaz, ikut saya.”, Eqhwan mengangkat dulang nasi tersebut
kembali ke dapur. Memandangkan isteri Ustaz Pauzi tiada di rumah, maka pemuda
tersebut dengan penuh keselambaan menggunakan dapur di rumah tersebut.
Dapur dihidupkan. Kuali dan minyak terpanas.
“Ustaz, kalau masak nasi, kenalah masak betul-betul. Baru sedap orang
nak makan.”, celoteh Eqhwan sambil tangan kanannya menyenduk nasi yang sedang
dimasak di atas kuali. “Ustaz, ayam tu kena masak balik, tak cukup rempah.”,
ujar Eqhwan.
Senyuman ustaz tidak lekang tatkala memerhatikan pelajarnya beraksi di
dapur. “Rempah ratus ada dalam almari tu. Kalau nak lesung batu, kamu cari
bawah dapur.”, terus memerhati ceria.
Dengan penuh cekap, Eqhwan menumbuk bawang merah, bawang putih, serta
halia bersama. Kemudian segala rempah ratus dicampurkan secukup rasa untuk
menaikkan lagi kesedapan ayam yang bakal dihidangkan bersama nasi arab.
“Eqhwan, susah-susahkan kamu je nak kena masak balik. Kan senang kalau
makan je nasi tadi.”, kata Ustaz Pauzi. Secara automatik, kepala Eqhwan
tertoleh ke arah ustaz setelah mendengar komentar berkenaan.
“Isyhh! Mana boleh ustaz. Kalau nak masak, kenalah masak betul-betul.
Nasi mentah mana sedap.”, balas Eqhwan sambil memasukkan ayam ke dalam sup
rempah yang sedang mendidih. “Biarlah bersusah sikit ustaz, asalkan masakan ni
menjadi. Baru sedap!”
Ustaz Pauzi mengangguk membenarkan. Bibirnya masih tersenyum.
“Hah! Siap!”, kata Eqhwan penuh ceria. Nasi Arab dihidangkan di atas
talam, bersama ayam berempah kuah kurma dijadikan lauk utama. “Jom makan,
ustaz.”, giliran Eqhwan pula tersenyum.
Sekali lagi, doa makan dibaca Eqhwan, dan diaminkan pula oleh ustaz.
Seusai itu, Eqhwan terus memakan Nasi Arab 2.0 tersebut. “Subhanalllah!
Sedapnya!”, Eqhwan memuji masakannya sendiri dengan keadaan mulut yang penuh
disumbat ayam.
Ustaz Pauzi turut menjamu selera. ‘Hmm… Boleh tahan.’, hatinya memuji.
Ustaz tersebut menyaksikan sahaja gelagat pelajarnya yang sedikit gelojoh itu.
Terlalu lapar, mungkin.
“Eqhwan, sekarang kamu tahukan, bahawa kematangan itu penting?”
“PPPFFFFFTTTTTTTT!!!”
Sekali lagi! Ketersemburan nasi tercetus. Namun kali ini bukan kerana
rasanya yang kurang enak, tetapi disebabkan oleh persoalan yang diutarakan
ustaz terus dari benak.
“Hah? Apa maksud ustaz?”, musykil Eqhwan, bibirnya dikesat.
Tersenyum ustaz itu. “Kenapa kamu pilih untuk memakan nasi yang masak,
dan bukan nasi yang mentah? Sedangkan dua-dua nasi boleh sahaja terus
dimakan.”, soal ustaz. Pemuda yang juga merupakan debator sekolah itu terus
tangkas memberi jawapan. “Memanglah dua-dua boleh dimakan. Tapi nasi yang masak
itu lebih sedap dan menyelerakan.”
“Tak samakah yang mentah dan yang masak?”, ustaz terus menyoal.
“Tak. Jauh sekali perbedaan yang tercipta.”, jawab Eqhwan, mudah. Ustaz
Pauzi mengangguk mengiyakan jawapan tersebut.
“Maka, yang mentah, dan yang matang, bagaimana?”, soalan cepumas!
“Errrkkk!”
Eqhwan tersentak. Buat pertama kali, pemuda yang hebat membidas
kata-kata insan lain itu terkunci bicaranya. Bukan kerana dia tidak punya
jawapan, cuma … hatinya berasa amat terkesan.
Terus tersenyum lirik. “Eqhwan, saya lihat kamu ada potensi. Sebab itu
saya tarik kamu jadi BADAR. Saya tahu, sebagai remaja kita memang selalu nak
berseronok. Cuma, pada detik-detik tertentu, dalam keadaan-keadaan tertentu,
atas sebab-sebab tertentu, kita perlu jadi matang.”, nasihat Ustaz Pauzi dalam
intonasi kebapaan.
Eqhwan tertunduk memikirkan kebenaran kata-kata ustaz.
Perlahan-lahan, tangan Ustaz
Pauzi berlabuh pada bahu pemuda tersebut, mengalirkan chakra kekuatan. “Eqhwan,
… saya perlukan orang seperti anda.”
ZUPPPP!!!
Terkesima pemuda berkaca mata tersebut. Dirinya terasa kuat, terasa
bermotivasi, terasa diri ini begitu diperlukan serta dihargai. Selama ini, ramai
orang yang tidak berani memberikan kepercayaan kepada Eqhwan kerana sikapnya
yang keanak-anakan, namun hari ini, situasinya berbeza. Sungguh berbeza. Tidak
dapat digambarkan perasaannya pada saat dan ketika itu.
“Ustaz! Terima kasih untuk Nasi Arab ni. Sangat bermakna.”, bicara
Eqhwan terserta senyuman.
Terlalu gembira.
* * *
SMASH!
Bulu tangkis meluncur laju di ruang udara. Pergerakan Aminudin
ditingkatkan ketangkasan bagi menyerang balas.
‘Isyhh! Hebatnya Ustaz Yus ni!’, monolog hati Amin. Peluhnya bercucuran.
Sudah hampir lima permainan, namun pemuda tersebut terus lumat dikalahkan.
“Kenapa Amin? Dah penatkah?”, perli Ustaz Yus di posisi berlawanan. DIa
kelihatan tenang dan masih tersenyum ceria. Berbeza pula kondisinya dengan
Aminudin. Nafas Aminudin turun naik laju, peluh pula basah bercucuran. “Heh!
Saya tak kenal erti penatlah, ustaz. Yahhh!!!”
SMASH!
Aminudin melompat tinggi ke udara, pukulan raket dilibas sekuat hati.
Ya, itu kelebihan Aminudin Che Omar. Fizikalnya yang mantap menjadikan dia
lebih bertenaga. Setiap kali permainan badminton berlangsung, pemuda tersebut
akan menjatuhkan lawannya dengan serangan smash!
Ustaz Yus tersenyum. Dengan tangkas, ustaz tersebut berlari ke arah net
bagi mendapatkan posisi pukulan yang lebih mantap. Setelah mengumpul daya,
Ustaz Yus melonjak ke udara sambil raketnya ditarik jauh ke belakang. Daya
potensi terjana!
‘Ahh! Smash lagi ke?! Matilah aku!’, hati Aminudin berbisik cemas.
Pemuda tersebut segera melompat semula ke ruang udara bagi melakukan persediaan
untuk menepis serangan balas.
PAP.
Sedikit. Hanya sedikit sahaja kudrat yang dilancarkan oleh Ustaz Yus
bagi menjana serangan balas. Tiada smash. “Ahhh??!”, Prediksi Aminudin bertemu
miskalkulasi. Lantas, bulu tangkis mencium lantai pada bahagian Aminudin
beraksi.
Permainan tamat. Ustaz menang, dan Aminudin kalah. Lagi.
Aminudin terduduk tercungap-cungap, sungguh, ustaznya itu bukan
calang-calang ustaz. Perlahan-lahan, Ustaz Yus berjalan ke arah Ketua BADAR
tersebut. “Jom Amin, saya belanja kamu minum di kantin.”, pelawa Ustaz Yus
penuh keikhlasan.
Di kantin tersebut, Ustaz Yus dan Aminudin duduk berdua di sebuah meja.
Keadaan kantin yang meriah dengan perbualan kosong para pelajar menjadikan
suasana sedikit hingar. Namun tidak pula mengganggu diskusi dua insan tersebut.
“Macam mana Amin, penat?”, soal Ustaz Yus bersahaja. Amin tersenyum,
“Heh, bolehlah. Hebat juga ya ustaz main.”, puji Aminudin.
“Hahaha… Kalau tak hebat, macam mana Lee Chong Wei boleh jadi anak murid
saya?”, gurau Ustaz Yus. Aminudin turut tertawa. “Tapi, sehebat-hebat saya,
hebat lagi kamu. Sepanjang perlawanan, asyik smash sahaja.”
Air milo ais dihirup Aminudin penuh kepuasan. “Smashing memang kekuatan
saya ustaz.”, bangga.
“Apa
yang terlintas di fikiran kamu, bila saya pun bagi pukulan smash?”, soal Ustaz
Yus.
“Oh! Mestilah saya nak balas balik smash tu. Lawan mesti lawan!”, kata
Aminudin penuh semangat. “Kalau macam tu, bagaimana pula dengan perlawanan
akhir kita tadi? Kamu termasuk dalam perangkap saya.”, senyum ustaz.
“Kebetulan ja tu ustaz.”, balas Amin, tidak mahu mengalah.
“Tindakan tu dipanggil apa?”
“Strategi.”, jawab Amin.
Ustaz terus tersenyum. “Amin, kamu ada kekuatan. Tapi saya nak tanya,
kamu ada strategikah?”.
Aminudin tertunduk seketika memikirkan jawapan, lantas
dia bergeleng perlahan. Strateginya kurang serta amat tipis.
“Sekarang kamu jawab, mana yang lebih penting, kekuatan fizikal atau
strategi?”, terus menembak soalan retorikal. “Err… Strategi.”, jawab Aminudin,
samar.
“Ya, tepat sekali. Sama juga seperti usaha dakwah.”, jelas Ustaz Yus.
Aminudin tersentak.
Strategi? Dakwah?
“Amin, saya perhatikan bahawa kamu punya cita-cita yang amat besar dalam
dunia dakwah. Malah, kamu tegar melakukan apa sahaja demi menegakkan syiar
Islam. Namun Amin, kekuatan semata-mata tidak bisa membuahkan hasil yang
efektif lagi efisien. Kita perlukan strategi. Kita perlukan hikmah.”, satu
persatu ustaz menerangkan.
Aminudin diam menghadam kata bicara yang terlafaz dari bibir Ustaz Yus.
“Amin, sekiranya kamu mengangkat kuasa dan kekuatan sebagai senjata, maka ia
tidak akan bertahan lama. Contoh, kamu marah kawan kamu sebab dia tak solat,
kemudian dia pun solat sebab tak larat nak dengar kamu marah-marah. Kamu rasa,
bila esok kamu dah tiada, dia akan solat lagikah?”
Tergeleng kepala Ketua BADAR tersebut.
“Bagaimana pula sekiranya kawan kamu itu tidak solat, lantas kamu yang
menjelaskan kepadanya tentang kepentingan solat dengan penuh kesabaran. Apabila
kawan kamu sudah terbuka pintu hatinya untuk menunaikan solat, kamu rasa esok
lusa kamu perlu menasihatkannya lagi?”
Sekali lagi Aminudin bergelengan.
“Itulah kuasa hikmah Amin.”, kata Ustaz Yus. Aminudin mengangguk
perlahan. “Ustaz, bagaimana mahu menjadi insan yang berhikmah?”, soal Amin,
pintu hatinya perlahan-lahan kian terbuka. Alhamdulillah, syukur pada Allah.
Terus dengan senyuman manis. “Senang sahaja Amin, kamu perlukan ilmu
serta kesabaran yang tinggi.”. Amin terdiam. Terdiam memikirkan kesabarannya
yang agak tipis menipis.
“Nak menang ke tak nak?”, Ustaz Yus mencocok.
“Mestilah nak ustaz.”, giliran Aminudin pula tersenyum. Terasa dirinya
tercabar.
“Maka?”
“Kena berhikmah! YEAH!!!”, sahut Aminudin penuh bersemangat.
“Alhamdulillah.”, senyuman mengiringi lafaz tahmid di bibir ustaz.
‘Aku akan berusaha sekuat daya untuk menjadi Amin yang baru! Yang
berhikmah! InsyaAllah!’, dalam hati Aminudin berazam tinggi.
Nekad mahu berubah!
0 comments:
Post a Comment