Pemuda berkaca mata tersedu-sedan menahan
pilu. Teresak-esak tangisan mengiringi air mata yang beraliran.
“Mama… Mama….”, bicara penuh kesyahduan. Dia
menangis seorang diri.
“Hai, kenapa hang nangis?”, tiba-tiba satu
suara lembut menyapa ramah. Pemiliknya yang seusia tetap dengan senyuman.
Air mata dikesat. Malu, mungkin? “Mama aku…
Mama aku dah balik Selangor. Aku tak biase la dudok asrama. Kat Kedah pula
tu!”, jelas pemuda tingkatan satu tersebut. Hidungnya berhingus lendir.
“Ooohhh… Hang orang Selangoq? Tak apalah,
aku kan ada. Aku akan jadi kawan hang.”, kata rakan baru tersebut dalam loghat
utara. Wajahnya bersinar dengan senyuman. Pemuda yang sebentar tadi menangis
semakin tenang.
“Lelaki mana boleh menangis.”, muncul satu
lagi suara mencelah. Dua pemuda tadi menoleh ke belakang. Pemuda yang baru
hadir itu turut tersenyum. “Kita kena kuat, barulah hebat!”, bicaranya penuh
bersemangat. Semangat yang terus menusuk ke dalam sanubari insan yang
mendengar.
Tangisan bertukar senyuman. Pemuda tersebut
berasa senang dengan dua rakan barunya. Pengembaraan di dunia asrama sebagai
pelajar tingkatan satu amat ditakutinya. Namun, dengan kehadiran dua rakan
baru, dia yakin bahawa dia mampu bertahan.
* * *
“Jadi, bagaimana?
Dah ada calon Ketua BADAR?”
Ujar Ustazah Fadhilah
kepada dua rakan sejawatnya. Di dalam Bilik Gerakan Pendidikan Islam itu, tiga
murobbi sedang bermusyawarah.
Ustaz Yus tetap
terpejam, memikirkan kerumitan serta komplikasi yang timbul. Nafasnya dihela
panjang, lantas dihembus. Berat. “Hmm… Tahun ni agak sukar. Kita ada Amin, kita
ada Anas. Bagi saya, dua-dua boleh memainkan peranan sebagai Ketua Badar. Cuma
….”
Sepi menyapa ruang,
kata-kata Ustaz Yus tersekat di kerongkongan.
“Perangai mereka?”,
Ustaz Pauzi menyimpul andaian. Ustazah Fadhilah dan Ustaz Yus mengangguk
mengiyakan. Tidak perlu berselindung. Semua orang cukup arif akan sifat serta
sikap dua pelajar yang amat terkenal di sekolah tersebut.
Amin menjadi
mahsyur dengan kekuatan serta kepanasbaranannya.
Anas pula mahsyur
dengan kelunakan suara serta egonya yang tinggi.
“Masalah perdana
sekarang adalah Anas dan Amin tak mungkin bersatu. Dua-dua berbeza pandangan
dan cara. Sekiranya tampuk pemerintahan BADAR berpecah, bagaimana pula dengan
anak-anak buah? Bagaimana pula dengan seluruh sekolah?”, sambung Ustaz Yus
lagi. Sungguh, Ustaz Yus amat menitikberatkan kesatuan dalam kalangan pelajar ,
kerana dia yakin dan percaya bahawa hanya dengan kesatuan, keharmonian dapat
dikecapi.
“Jadi, bagaimana?”,
kemusykilan Ustazah Fadhilah masih belum terungkai. Ustaz Yus pula memandang
sahabat karibnya sambil mengangkat kening sebelah.
Ustaz Pauzi
tersenyum, “Saya ada idea.”
* * *
“Arghhh! Siapa pula
curi selipar aku ni?!”
Eqhwan membebel
sendirian sambil matanya melilau ke sana sini mencari sepatunya. Usai solat
Isyak berjemaah di surau sebentar tadi, pemuda tersebut ‘melabur’ sebentar di
kamar tandas. Namun, sekembalinya dia ke surau, seliparnya sudah pun dikebas
pelajar lain.
“Brengsek!”,
carutan terlafaz spontan. “Eh? Ada satu lagi selipar lah.”, bicara Eqhwan
sendirian sambil matanya menangkap sepasang selipar di luar surau.
“Gerangan siapakah
tuan empunya selipar ini?”, musykil Eqhwan sambil matanya menjenguk kembali ke
dalam surau.
“Eh?”
Ternampaknya
seorang pelajar junior sedang duduk sendirian. Fokus Eqhwan diperkasakan.
Esakan daripada pelajar tersebut semakin didengari. Menangis. Hati Eqhwan
bertambah musykil. Perlahan-lahan pemuda berkaca mata mengatur langkah
mendekati pelajar junior tersebut.
“Dayat?”
Pelajar tingkatan
satu tersebut disapa namanya. Lantas, Hidayat segera menyeka mutiara yang
membasahi wajah suci agar tidak terlihat dek senior yang mendekatinya. “Eh,
Abang Eqhwan? Awat tak pi prep lagi?”, sengaja persoalan diutarakan. Satu
senyuman terukir pada wajah Hidayat. Tawar.
“Dayat… Kenapa
ni?”, soalan Hidayat pergi dibawa angin, tidak berjawab. Eqhwan mengambil
posisi duduk bersebelahan dengan junior tersebut. Perlahan-lahan, tangan Eqhwan
memegang bahu Hidayat bagi mengalirkan aura sokongan serta kekuatan.
Hidayat sekadar
tertunduk. Menggeleng.
“Dayat ada masalah
ke? Ceritalah kat abang.”, asas-asas kaunseling yang dipelajari sewaktu kursus
kepimpinan dahulu dipraktikkan penuh sempurna. Terus memujuk.
Masih terdiam,
langsung tiada kata yang mampu dilafazkan. Sedih. Amat sedih. Perlahan-lahan,
air mata keperitan yang cuba disekat kembali mengalir. Hidayat hiba. Eqhwan
bertambah musykil, tangannya menggosok-gosok belakang tubuh pelajar tingkatan
satu tersebut bagi menenangkan junior yang bernama Hidayat itu.
“Arghhh…! Jangan Abang Eqhwan.. Badan saya sakit…”,
kata Hidayat berselang-seli dengan tangisan. Jelas kedengaran nada keperitan
yang dihadapinya.
“Sakit?”, keraguan
Eqhwan bertambah. Tangannya dapat merasakan bengkak pada belakang tubuh junior
tersebut. Baju Melayu yang disarung Hidayat diselak perlahan oleh Eqhwan.
Jantung Eqhwan berdegup kencang!
“Ya Allah, Dayat!
Lebam ni!”
* * *
Penuh bertenaga.
Manakan tidak, bernasyid itu kekuatan ampuh milik Anas Asyraf. Suaranya yang
merdu mampu mencair serta menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“Subhanallah, sedap
sungguh suara kamu Anas.”, puji Ustaz Pauzi penuh ikhlas yang juga merupakan
jurulatih bagi kumpulan nasyid Suhulus Salam pada tahun tersebut.
‘Heh! Gila tak
sedap?’, monolog Anas.
“Alhamdulillah,
ustaz. Semua ni daripada Allah.”, respon Anas sambil tersenyum manis.
“Kamu setuju kalau
saya jadikan kamu ketua kumpulan nasyid pada tahun ni?”, lamar Ustaz Pauzi.
Anas Asyraf telah menyertai kumpulan nasyid semenjak daripada tingkatan satu
lagi. Pengalamannya dalam bidang nyanyian amat luas sekali. Sudah beberapa kali
pelajar tersebut berjaya membawa kumpulan nasyid Suhulus Salam ke pentas
kejuaraan.
Masih tersenyum.
Andaian Anas tepat mengena! “Ustaz, saya setuju dengan tawaran ustaz. Tapi
dengan dua syarat.”, jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan Anas diangkat
bagi menunjukkan simbol ‘dua’.
Mata Ustaz Pauzi
terbeliak, namun dia mampu mengagak akan kerenah pelajarnya itu. “Dua syarat?”
Anas mengangguk.
“Yang pertama, tahun ni saya nak menyanyi solo … Dan yang kedua…”
Ustaz Pauzi menelan
air liur. Gulp! Bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.
“Saya nak jadi
Ketua Badar.”
* * *
“Temuduga BADAR?”
Amin berdialog
seorang diri. Matanya tertumpu tepat ke arah kertas hijau yang tertampal pada
papan kenyataan. Di kawasan koridor itu agak sunyi kerana rata-rata pelajar
akan mengulangkaji pelajaran di kelas masing-masing.
Mata Amin terpejam
rapat, memikirkan sesuatu yang amat berat.
Pelajar bertubuh
sasa tersebut merupakan calon Ketua BADAR di sekolahnya, namun bukan jawatan
itu yang dikejar. Hasrat Amin hanya satu, mahu syiar Islam tertegak di muka
bumi. Tidak kiralah apa jua metadologi serta mekanisma yang dilancarkan, apa
yang menjadi keutamaan adalah Islam itu berada di tempat yang tertinggi.
Meskipun dia
terpaksa melakukan kekerasan.
Pun begitu, Amin
sedar akan kekurangan dirinya. Sikapnya yang panas baran sering sahaja
menimbulkan komplikasi dalam perjuangan. Apa yang pasti, Amin berhasrat tinggi
mahu merubah sikapnya agar menjadi lebih tenang dan terkawal.
“WOI AMIN!”
Tiba-tiba satu
suara kasar menarik Amin kembali ke alam sedar. Secara automatik, kepala Amin
tertoleh ke arah tuan empunya suara. Tidak berselipar.
“Hang … Eqhwan? Dah
tak reti nak bagi salam ka?”, soal Amin, cuba mengawal kemarahan.
“Ni ha salam hang!”
DUSH!
Satu tumbukan padu
hinggap pada wajah Amin secara tiba-tiba. Tubuh Amin tertolak ke belakang
akibat reaksi momentum yang terhasil daripada tumbukan tersebut.
“Hang pasaipa?!”,
serangan balas dicorak! Amin berlari kencang ke arah Eqhwan, lantas tendangan
balas dilancarkan.
DUSHUM!
“Argghh!!”, pemuda
berkaca mata cuba mengelak, namun gagal. Sisi tubuhnya menjadi mangsa kerakusan
tendangan Aminudin. Tendangan tersebut tidak akan menjadikan Eqhwan lemah,
kerana sungguh, dirinya sedang dirasuk amarah.
“Hang buat apa kat
Dayat?! Badan dia bengkak, bodoh!”, amukan Eqhwan menyinga.
Amin ketawa sinis mendengar
kata-kata Ketua PRS tersebut. “Hahaha! Oh.. Abang Eqhwan nak tunjuk hero ya?”,
lengan baju Amin disinsing ke paras siku. Bersiap siaga untuk terus menyerang.
“Lain kali hang jaga adik hang tu elok-elok. Baru form one dah nak tunjuk
kepala!”
Tanpa membuang
masa, Amin terus melancarkan tumbukan rakus. Eqhwan pula pantang berundur,
walaupun dia sedar bahawa peperangan fizikal pasti akan dimenangi oleh pihak
lawan.
Amin dan Eqhwan
terus berentap. Tanpa mereka sedari, segala tindak-tanduk mereka berdua
diperhatikan dari jarak yang tersembunyi. Bahkan turut dirakam!
“Heh! Amin dan
Eqhwan … Masa depan hampa di tangan aku!”
* * *
Kamar gelap.
Lelaki itu duduk
bersendirian bertemankan sepi. Namun, jiwanya tidak pernah sunyi. Kerana
jiwanya dibakar dengan api dendam kesumat hitam! Berdendam dengan sebuah
organisasi yang digelar … BADAR.
Berdengus!
“HAHAHA! BODOH
BODOH! Seorang panas baran, seorang gila jawatan, seorang lagi suka ikut kepala
sendiri!”
Dialog keji
tercipta sendiri. Hatinya puas, kerana dalam percaturannya, dilihat jelas
bahawa organisasi BADAR pada tahun itu akan hancur sehancur-hancurnya!
“Jagalah korang!
BADAR ya? Aku akan pastikan BADAR …”,
“MUSNAH!”
0 comments:
Post a Comment